Omicron Covid-19 variant Malaysia case Minister of Health, Khairy Jamaluddin Abu Bakar at a news conference on the latest development of Covid-19 in Malaysia. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 01 DECEMBER 2021.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Ramai ibu bapa tidak terpedaya dengan taktik kumpulan antivaksin yang menyebarkan video kononnya anak Menteri Kesihatan Khairy Jamalauddin Abu Bakar tidak disuntik dengan vaksin.

Menurut Khairy Jamaluddin, fitnah kononnya anak beliau hanya dicucuk dengan angin tidak mendatangkan sebarang impak ke atas ibu bapa yang mahu melindungi anak-anak mereka daripada virus Covid-19.

Katanya, ramai ibu bapa telah membenarkan anak-anak mereka yang berusia 5 hingga 11 tahun menerima vaksin Covid-19.

Justeru Menteri Kesihatan itu menasihatkan golongan antivaksin supaya tidak mengacau ibu bapa yang berhasrat untuk memberi vaksin kepada anak masing-masing.

“Liputan dan pendaftaran #PICKids semakin meningkat. Alhamdulillah ibu bapa mahu memberi perlindungan kepada anak.

“Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya dicucuk angin, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin.

“Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka,” ciap Khairy Jamaluddin di Twitter.

Anak bongsu Khairy Jamaluddin, Raif, 6 tahun menerima suntikan imunisasi Covid-19 dua hari lalu.

Menerusi akaun Twitter rasmi Khairy Jamaluddin, beliau memaklumkan anaknya, Raif, selesai menerima suntikan vaksin dos pertama di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Bagaimanapun terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebarkan video ketika Raif disuntik dan mendakwa petugas perubatan telah mengeluarkan vaksin sebelum membuat suntikan terhadapĀ anak Khairy Jamaluddin

Covidnow iaitu laman sesawang rasmi berkaitan Covid-19 di Malaysia memaparkan data sejumlah 246,867 kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun telah mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19.- MalaysiaGazette