KUALA LUMPUR – Peguam kontroversi, Siti Kasim mengumumkan dirinya akan bertanding Parlimen Batu Kawan, Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau antara nama enam calon yang diumumkan oleh Gerak Independet (Gerak) hari ini.
Gerak adalah inisiatif bersama yang diketuai Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (Maju) bersama beberapa badan bukan kerajaan lain yang mendesak calon bebas menjadi ahli Parlimen pada PRU-15.
Kesemua enam kerusi yang akan ditandingi Gerak adalah kawasan yang disandang oleh pembangkang.
Siti Kasim berkata, kawasan tersebut menjadi pilihan kerana merupakan “tempat yang kurang berprestasi di mana katak berkembang biak”.
Menurutnya, Gerak akan meletakkan kira-kira 10 calon lagi pada PRU-15.
“Kami sedang mengenal pasti calon yang lain dan akan mengumumkannya kemudian,” katanya dalam sidang media hari ini.
Lima calon lain yang diumumkan adalah bekas ahli Parlimen UMNO, Tawfik Ismail, bekas wartawan, Charles CJ Chow, penduduk Wangsa Maju Raveentheran Suntheralingam, KJ John dan peguam, Roland Cheng.
Charles CJ Chow akan bertanding di Subang, Raveentheran Suntheralingam (Wangsa Maju), KJ John (Petaling Jaya) dan Roland Cheng (Kota Kinabalu).
Memetik laporan FMT, Taufik tidak menyatakan kawasan yang akan ditandingi namun memberi gambaran akan bertanding di sama ada di Langkawi Pagoh, Ampang, Mersing atau Simpang Renggam.
Gerak menegaskan mereka terbuka untuk membentuk pakatan strategik dengan parti lain atau individu sefahaman untuk meneruskan usaha menjadikan negara ditadbir secara adil kepada semua.
Orang ramai boleh melihat profil calon di aplikasi mudah alih Gerak (Gerak App), yang bertujuan untuk meningkatkan komunikasi antara rakyat dan calon bebas.- MalaysiaGazette