Perkampungan di Pulau Aman, Pulau Pinang ibarat dilanda tsunami kecil selepas ribut membadai kawasan berkenaan awal pagi tadi.

BATU KAWAN – Insiden ribut awal pagi tadi di Pulau Aman di sini, umpama tsunami kecil sehingga mengakibatkan bot nelayan serta beberapa rumah rosak teruk dengan sekelip mata.

Kejadian berlaku jam 1 pagi itu mengakibatkan kira-kira 12 buah bot nelayan rosak selain ada yang tenggelam serta dihanyutkan hingga ke pesisiran pantai.

Seorang nelayan sedang mengambil pukatnya yang hanyut dibawa ombak kuat dalam kejadian ribut di Pulau Aman di sini, awal pagi tadi.

Angin kencang disusuli dengan ombak setinggi satu meter yang membadai kawasan berkenaan turut turut merosakkan pukat serta peralatan menangkap ikan yang lain.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, Saibi Abd Majid berkata, kejadian ribut awal pagi itu menggemparkan penduduk susulan ia berlaku dengan pantas  tanpa sebarang amaran.

Saibi.

Jelasnya, kejadian itu luar biasa kerana ombak serta angin kencang tiba-tiba ‘mengganas’ hingga menyukarkan penduduk yang terdiri daripada golongan nelayan menyelamatkan bot masing-masing.

“Memang kami sudah biasa dengan fenomena air pasang, tambahan pula mereka yang mendirikan rumah berhampiran persisiran namun tidak sangka ribut dalam tempoh hampir dua jam yang membadai perkampungan ini memberikan kesan ibarat tsunami kecil kepada penduduk.

“Ramai nelayan akan terjejas pendapatan susulan bot serta peralatan menangkap ikan mereka rosak dalam kejadian ribut ini namun kami bersyukur tiada insiden kehilangan nyawa berlaku,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Ahmad Zuki menunjukkan benteng rumahnya terhakis akibat dibadai ombak kuat.

Sementara itu, Ahmad Zuki Saad, 53, berkata, dia mengalami kerugian puluhan ribu ringgit susulan bot miliknya hanyut hampir 100 meter selain peralatan menangkap ikan rosak sepenuhnya.

“Tidak cukup dengan itu, bahagian lantai rumah saya juga terhakis akibat dipukul ombak kuat.

“Saya cuba menyelamatkan barang-barang dalam bot namun gagal selain saya terperangkap dalam air hampir 30 minit kerana ombaknya sangat kuat hingga menyebabkan saya tidak boleh menyeberangi ke darat semula.

“Insiden ini bukan menyebabkan saya kerugian harta benda malah turut menjejaskan pendapatan saya sebagai nelayan sepenuh masa yang mana perlu mengambil masa panjang untuk membaiki semua peralatan sebelum melakukan aktiviti tangkap ikan,” jelasnya.

Keadaan rumah Aminah selepas dibadai ribut awal pagi tadi.

Menurut Aminah Hamad, 82, ketika kejadian dia berada dalam rumah dan terkejut apabila mendengar bunyi dentuman ombak membadai pekarangan luar rumahnya.

“Kejadian ini merupakan kali pertama berlaku dan kami tidak sempat melakukan apa-apa hanya mampu menyelamatkan diri saja.

“Habis semua pasir serta kulit kerang hanyut ke rumah saya dibawa ombak kuat malam tadi. Mujur ada jiran yang bantu bersihkannya,” katanya yang menetap seorang diri.

Hizer menunjukkan botnya hanyut ke pesisiran pantai selain pukatnya rosak sepenuhnya akibat kejadian ribut di Pulau Aman awal pagi tadi.

Turut berkongsi kejadian sama, Hizer Mohamad Hasan, 48, berkata, dua bot milik dia dan anak rosak akibat ribut itu.

“Tak sempat buat apa semua jadi sekelip mata, nak baiki ni pun bukan murah tambahan pula pukat kami anak beranak semua rosak sepenuhnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Pulau Aman Ibarat Dilanda Tsunami Kecil

Pulau Aman Ibarat Dilanda Tsunami Kecil

#malaysiagazette

Posted by Malaysia Gazette on Thursday, February 17, 2022

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast