Muhyiddin ketika merasmikan Majlis Pentas Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Johor malam tadi.

MERSING- Semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan mengangkat sumpah bebas rasuah dan salah guna kuasa.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kaedah tersebut telah dipraktikkan sejak PRN Melaka tahun lalu.

Proses akan sumpah itu bagi memastikan semua calon bebas daripada segala isu integriti.

“Terdahulu kita telah menggunakan di Melaka tetapi kali ini, calon-calon kita nanti kena angkat sumpah.. Wallahi, Wabillahi.. Watallahi.. saya sekian,ic nombor sekian-sekian,yang menjadi calon DUN sekian-sekian dengan ini bersumpah yang saya tidak akan salah guna kuasa, rasuah.

“Saya buat di Melaka dan saya akan buat di Johor pula maknanya calon kita adalah calon yang bersih, kalau kita bentuk kerajaan InsyaAllah kita nak bentuk kerajaan yang bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Pentas Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh di sini malam tadi.

Calon itu nanti, katanya, daripada golongan belia, wanita dan ahli parti gabungan itu yang berpengalaman serta pemimpin dikenali.

Semua itu menurut beliau adalah faktor untuk menarik pengundi.

Dalam ucapan itu juga, Muhyiddin yang tidak mempertahankan kerusi DUN Gambir memberitahu dirinya bersedia menjadi penasihat ekonomi kepada bakal menteri besar Johor sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan selepas PRN nanti.

Janji itu termasuklah inisiatif membantu golongan muda mendapatkan pekerjaan selain pemerkasaan sumbangan wanita, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast