Sebanyak 11 sekolah harian di Melaka terpaksa ditutup susulan berlaku peningkatan jangkitan kes Covid-19 yang sehingga kini menyumbang 1,258 pelajarnya positif Covid-19 sejak Januari lalu.

MELAKA – Sebanyak 11 sekolah harian di Melaka terpaksa ditutup susulan berlaku peningkatan jangkitan kes Covid-19 yang sehingga kini menyumbang 1,258 pelajarnya positif Covid-19 sejak Januari lalu.

Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, semua sekolah terbabit akan ditutup antara lima hingga tujuh hari bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi.

Menurutnya, 11 sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ning, SK Paya Redan, SK Batu Berendam, SK Pulai dan SK Chinchin.

Turut terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah, SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, SK Duyung, SK Bukit Rambai dan SK Taman Bukit Rambai.

“Bagaimanapun, kita bersyukur kerana tiada kes kritikal bagi semua jumlah terkumpul 1,258 pelajar yang positif, namun Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka sentiasa memberi perhatian penuh terhadap isu penularan wabak Covid-19 di sekolah.

“Walaupun ditutup, sesi pembelajaran di sekolah berkenaan tetap diteruskan melalui kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan keberkesanan pembelajaran sekaligus mengelakkan berlaku keciciran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, pihaknya juga sentiasa menitikberat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pelajar, guru serta kakitangan sekolah di negeri itu.

Menurutnya, antara SOP yang dilaksanakan Jabatan Pendidikan negeri (JPN), adalah melaksanakan langkah di bawah SOP 3.0 daripada Kementerian Pendidikan, memastikan saringan suhu dilakukan ketika masuk dan berada di sekolah, selain melakukan ujian saringan ujian pantas (RTK) secara bersasar terhadap pelajar, setiap hari.

“JPN Melaka juga mengarahkan pihak sekolah untuk sentiasa memantau penjarakan sosial pelajar dan melakukan kaedah penggiliran kehadiran pelajar bagi mengelakkan kesesakan di sekolah.

“Kerajaan negeri juga sentiasa bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam aspek pencegahan dan khidmat nasihat kesihatan.

“Kita juga sentiasa bekerjasama dengan pihak bomba bagi perkhidmatan melakukan semburan nyah kuman bilik darjah atau sekolah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput berkata, sehingga kini, seramai 18,167 individu atau 18.5 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun di negeri itu sudah divaksin.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu masih rendah berbanding 98,200 jumlah kanak-kanak kumpulan terbabit.

“Ibu bapa disyorkan untuk memastikan anak mereka yang layak dan tidak mempunyai masalah kesihatan untuk segera divaksinkan serta sentiasa mematuhi SOP bagi mengekang wabak Covid-19,” katanya.- MalaysiaGazette