Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Tawaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menjadi sebuah kerajaan penyayang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disambut dengan sinis oleh UMNO.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata, tawaran itu hanyalah berupa kata-kata indah tanpa sebarang perincian.

Menurut Shahril hanya pentadbiran di bawah kepimpinan Datuk Hasni Mohammad boleh menawarkan kerajaan penyayang di Johor.

“Baguslah nak jadi penyayang. Nak jadi penyayang apa yang perlu kita tengok adalah perincian dasar, apa rekod kejayaan mereka untuk mendabik jadi kerajaan penyayang?

“Berbeza dengan kepimpinan BN di Johor, apa yang menteri besar buat,” kata Shahril.

Katanya, sejak Hasni menjdi menteri besar pada Februari 2020 banyak bantuan yang disalurkan kepada rakyat berbanding ketika Johor ditadbir oleh menteri besar daripada Pakatan Harapan dan Bersatu.

Shahril berkata, Hasni menyediakan peruntukan RM2.8 juta untuk asnaf dan fakir miskin di negeri itu sebagai bantuan modal niaga, modal kerja geran khas dan bantuan usahawan kepada 1,400 golongan terbabit.

Beliau turut memberi vaucher RM200 kepada 450,000 isi rumah B40 di bawah Inisiatif Kasih Johor.

Selain itu Hasni turut memberi insentif petrol bernilai RM150 kepada pemandu e-hailing dan pemandu teksi serta RM100 kepada penghantar makanan di bawah bantuan pekerja gig.

Bagi pemerkasaan dan pembangunan wanita, Hasni menyediakan peruntukan RM200,000 untuk Skim Bantuan Peralatan Perniagaan selain RM130,000 untuk Projek Menjana Pendapatan Wanita Berkemahiran kepada 550 orang termasuk ibu tunggal dan surirumah.

“Itu beberapa contoh masa BN jadi menteri besar. Waktu PH dahulu apa dalam belanjawan mereka? Ini baru cerita sikit.

“Pembangkang pun Datuk Hasni nak sayang. Zaman Pakatan Harapan dulu, semasa Pejuang jadi sebahagian kerajaan negeri melalui PPBM peruntukan kepada ADUN hanya RM50,000.

“Datuk Hasni jadi menteri besar, tahun pertama naik tiga kali ganda RM150,000 tahun kedua baru-baru ini naik RM200,000 campur RM50,000 waktu musim perayaan. Siapa sebenarnya yang penyayang?” tanya Shahril.

Pada Rabu lalu sebuah media melaporkan, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tawaran kerajaan penyayang selari dengan kehendak rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang prihatin terhadap keperluan mereka dan benar-benar membela nasib rakyat.

Menurut Mukhriz, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang tidak sibuk bermain politik kerana ia tidak mendatangkan manfaat buat mereka.

“Tawaran Pejuang (di Johor) ialah sebuah kerajaan penyayang. Sebuah kerajaan penyayang bermaksud apa juga keperluan rakyat baik dari sosial, pendidikan dan ekonomi, kita kena betul-betul cari satu penyelesaian yang memberi impak kepada rakyat secara positif,” kata Mukhriz.-MalaysiaGazette.