Dr. Norazah Mohd. Nordin berkata, terdapat kira-kira 800 kes baharu kanak-kanak didiagnosis dengan penyakit kanser di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Yayasan Petronas menyumbang RM6.14 juta kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjalankan kajian Inisiatif untuk ketepatan perubatan dalam terapi kanser pediatrik.

Ia bagi meningkatkan kemandirian dan meminimumkan kesan lewat.

Kajian itu sebagai usaha meningkatkan kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser kanak-kanak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK).

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat) UKM Prof. Datuk Dr. Norazah Mohd. Nordin berkata, terdapat kira-kira 800 kes baharu kanak-kanak didiagnosis dengan penyakit kanser di Malaysia.

Menurut beliau, angka tersebut dijangka akan terus meningkat.

“Terdapat beberapa isu kritikal yang menyumbang kepada situasi ini termasuklah kekangan aplikasi teknik terkini dalam memantau saki-baki sel kanser dalam tubuh pesakit; pemprofilan molekul setiap kanser melalui penjujukan genom; serta pengabaian rawatan kontemporari termasuk penggunaan rawatan tradisional.

“Isu-isu ini akan mengakibatkan kesan yang berterusan jika keupayaan perkhidmatan dan pemantauan kanser tidak ditambahbaik,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Yayasan Petronas dan UKM.

Menurutnya, projek yang diketuai oleh Prof. Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal dari Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) itu bakal dilaksanakan melalui naik taraf fasiliti makmal, pemindahan teknologi terkini dan latihan lanjutan bagi kakitangan di pusat yang berfasiliti lengkap dan menyeluruh.

Projek ini juga akan menggunakan analisis big data bagi memahami kanser biologi dan mengenalpasti rawatan sasaran dengan membangunkan protokol rawatan kanser kanak-kanak yang lebih baik dan lebih bersasar.

“Saya berharap dalam tempoh terdekat, projek penyelidikan ini dapat meningkatkan penjanaan ilmu baharu dalam biologi kanser dan menambahbaik keupayaan perkhidmatan makmal hematopatologi bagi pengesanan saki-baki penyakit leukemia selepas rawatan kemoterapi diberikan.

“Ini akan dapat dilaksanakan dengan meningkatkan pengetahuan, sikap dan persepsi ibu bapa terhadap kepentingan keputusan rawatan yang diterima dan pematuhan kepada rawatan.

“Bagi kesan jangka masa panjang, kita berharap dapat mencapai 20-30 peratus peningkatan kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser kanak-kanak dan menjadikan makmal di HPKK dan UMBI sebagai pusat rujukan kebangsaan serta berakreditasi,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, secara statistiknya kanser kanak-kanak
adalah lebih sukar untuk dikesan berbanding orang dewasa

“Memahami kesan daripada penyakit ini dan kebolehupayaan kita dalam menanganinya adalah titik tolak yang menggerakkan kami untuk sama-sama menyumbang demi masa depan kanak-kanak yang terkesan.

“Dengan sumbangan Yayasan Petronas kepada penyelidikan ini, kami berharap dapat sama- sama berganding bahu memainkan peranan dalam memastikan kelangsungan hidup pesakit pediatrik di negara ini terutamanya kanak-kanak dari keluarga B40,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast