Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob menyempurnakan gimik pelancaran sambil diiringi Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hadir pada Pelancaran Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 19 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia menyediakan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion bagi menurunkan kadar pengangguran.

Dengan bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”, inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu merangkumi tiga program utama iaitu Insentif Penggajian, Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek atau MySTEP dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).

Menurutnya, Insentif Penggajian akan dilaksanakan oleh Perkeso dengan sasaran sebanyak 300,000 peluang pekerjaan manakala MySTEP menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik serta JaminKerja.

”Upskill Malaysia yang dilaksanakan HRD Corp dengan menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 orang pelatih,” kata beliau ketika berucap dalam Pelancaran Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz.

Untuk rekod, program ini adalah yang pertama dianjurkan di seluruh negara, menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan daripada 50 majikan, merentasi pelbagai industri.

Ismail Sabri turut menyeru pihak industri untuk melaksanakan strategi pengambilan pekerja yang lebih baik dengan mengambil kira perubahan sosial termasuk suasana pekerjaan yang lebih fleksibel agar padanan yang lebih baik dapat diwujudkan.

“Majikan juga perlu lebih kreatif dalam memberi jaminan pekerjaan yang baik kepada para pekerja supaya mereka kekal bersama majikan tersebut.

“Bagi Keluarga Malaysia yang masih menganggur dan sedang mencari punca pendapatan baharu, pastikan anda mendapatkan khidmat padanan pekerja yang ditawarkan oleh Portal MYFutureJobs,” katanya lagi.

Menurut Ismail Sabri, langkah-langkah yang dilakukan ini membolehkan kerajaan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara.

“Malaysia sesungguhnya berada pada landasan yang betul dalam usaha pemulihan ekonominya melalui penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan baharu bagi memenuhi keperluan semasa pasaran buruh.

“Saya yakin usaha Majlis Pekerjaan Negara dalam mempertingkatkan momentum penciptaan pekerjaan serta merancakkan pasaran kerja seterusnya memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia khususnya kumpulan asnaf, B40 dan M40,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agensi kerajaan, GLC dan swasta untuk memanfaatkan peluang dan insentif di bawah Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang memberi manfaat besar kepada majikan dan pencari kerja. – MalaysiaGazette