BATU PAHAT – Perbanyakkan program turun padang meningkatkan kadar peratusan mereka yang layak sebagai penerima Skim Peduli Kesihatan PeKa B40 untuk melakukan saringan kesihatan percuma.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, usaha itu perlu dilakukan pihak berwajib kerana ketika ini hanya kira-kira 561, 000 sahaja daripada 4.9 juta penerima yang layak sahaja telah mendapatkan manfaat daripada program berkenaan.
“Antara faktor peratusan rendah tersebut disebabkan kebanyakan penerima berada di luar bandar serta tiada kemudahan pengangkutan untuk ke klinik yang menawarkan skim PeKa B40 itu.
“Saya risau sebab jumlah yang layak sangat besar tapi yang mendapatkan Skim PeKa sangat rendah. Ini benda free bukan kita minta bayar.
“Semua ini ditanggung kerajaan. Kita tidak minta duit rakyat walaupun dibuat di klinik swasta tetapi ditanggung kerajaan. Ini semua contoh kerjasama awam swasta,” katanya selepas lawatan di klinik yang menjayakan Skim PeKa B40 di sini petang tadi.
Sementara itu, Khairy turut menegaskan, ketetapan penerima vaksin Sinovac tetap perlu mendapatkan suntikan penggalak bagi memastikan mereka terus berstatus lengkap sebelum 1 Mac ini.
Namun pihaknya tetap menerima apa sahaja pandangan semua pihak namun arahan berkaitan penerima Sinovac tetap kekal.
“Ya, tidak mengapa itu pandangan daripada Persatuan Perubatan Malaysia, kita ambil maklum,” katanya.- MalaysiaGazette