Pemandangan Pelabuhan Tanjung Bruas

MELAKA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri tidak mengesan sebarang dakwaan kegiatan membuang sisa minyak ke perairan Selat Melaka dari kapal kargo di Jeti Pelabuhan Tanjung Bruas, Pantai Puteri.

Pengarahnya, Rosli Osman ketika dihubungi berkata, hasil pemantauan pihaknya bersama polis dan Jabatan Laut malam tadi tidak menemui kesan tompokan minyak hitam seperti seperti didakwa pengadu menerusi video berdurasi satu minit 24 saat yang tular sejak semalam.

Menurutnya, pemantauan dari unit dron turut dijalankan di beberapa pantai di kawasan Tanjung Kling iaitu di Pantai Puteri, Pantai Rombang, Pantai Kundur selain Pantai Klebang dan kawasan pantai di Shah Beach Resort serta di Taman Spring Garden.

“Pemantauan bagaimanapun tidak menjumpai sisa minyak di pantai malah kita juga tidak mengesan sebarang tompokan minyak di kawasan Jeti Tanjung Bruas.

“Siasatan mendapati tiada limpahan minyak daripada dua buah kapal yang sedang berlabuh di jeti terbabit seperti dakwaan beberapa pekerja am pelabuhan di dalam video yang tular.

“Hasil temubual dengan pengadu di lokasi, dia juga tidak pasti bagaimana dan dari mana datangnya punca tompokan minyak itu di laut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menerusi video berkenaan yang tular semalam, beberapa individu dipercayai pekerja di jeti pelabuhan terbabit mendakwa berlaku aktiviti membuang sisa minyak daripada sebuah kapal yang turut dirakam di dalam video terbabit.

Kegiatan itu, dakwanya berlaku pada waktu malam dengan yang terbaharu dirakamkan sekitar jam 9.35 malam Khamis lalu.

Mengulas lanjut Rosli berkata, pihaknya bagaimanapun berterima kasih terhadap aduan berkenaan dan akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pencemaran di kawasan laut dan pantai Melaka.

“JAS akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan sebarang aduan orang ramai boleh menyalurkannya dengan menghubungi 06-2345720,” katanya.

Aziz Japar

Sementara itu, Sidang Kampung Tanjung Kling, Aziz Japar ketika ditemui berkata, beliau berharap pihak berkuasa memandang serius dan melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa.

“Mungkin dakwaan pencemaran yang berlaku Khamis lalu seperti dalam video boleh berulang, itu kita tidak tahu walaupun siasatan JAS dan Jabatan Laut tidak jumpa apa-apa bukti tumpahan minyak.

“Jadi mungkin pada bila-bila masa pihak berkuasa boleh membuat pemeriksaan mengejut dan kita di pihak penduduk kampung terutama nelayan sedia bekerjasama menyalurkan maklumat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast