Kamarul Baharin Mansor

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengingatkan kerajaan jutaan pekerja dalam kalangan B40 sedang melihat dan memerhatikan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan gaji minimum RM1,500.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, pekerja pembersihan tempatan khususnya di bawah kontrak kerajaan amat berharap kadar baharu gaji minimum itu dilaksanakan kerana tidak berubah sejak lebih 15 tahun lalu.

“Gaji minimum baharu sepatutnya menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan dan tidak mengambil masa lama dalam membuat kajian atau perbincangan dalam penetapan kadar baru.

“Adakah kajian perintah gaji minimum telah dilakukan dan dibentangkan kepada Kabinet. Sepatutnya kajian telah selesai dan keputusan Kabinet boleh dibuat.

“Kerajaan perlu mengarahkan Ketua Setiausaha Negara menyelesaikan kajian kerana ini adalah kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan digesa menerima pelabur berupaya memberikan gaji minimum yang wajar kepada pekerja dan tidak kedekut.

“Sepertimana syarikat EON yang telah memberi gaji minimum RM1,500 dan tarikh pelaksanaannya pada 1 Januari 2022 adalah bukti keinginan sesebuah syarikat untuk melaksanakannya bagi kebajikan pekerja,” katanya.

“Bagaimana perbincangan dapat dibuat sedangkan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) tidak pernah ditubuhkan sejak 2020.

“Platform NLAC yang sedia ada untuk membincangkan isu buruh di Malaysia tidak pernah digunakan.

“MTUC mengesyorkan kerajaan supaya jangan tunggu kapal sehingga karam tetapi masih lagi mengarahkan perbincangan dibuat,” katanya.

Katanya lagi, MTUC telah beberapa kali membangkitkan perbincangan di NLAC supaya isu buruh dapat diselesaikan termasuk gaji minimum, buruh paksa, pindaan Akta Perburuhan dan sebagainya.

“Jutaan pekerja akan berterima kasih pada kerajaan dan hanya segelintir sahaja yang tidak bersetuju dengan gaji minima RM1,500 dilaksanakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette