KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju pandangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Allah akan melaknat pemberi, penerima dan rakyat yang mengundi pemimpin rasuah.
Namun, Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar turut mengingatkan Abdul Hadi bahawa Allah juga melaknat orang yang bersekongkol dengan perasuah, penjenayah serta mengkhianati mandat rakyat dengan menubuhkan Muafakat Nasional (MN).
“Setuju dengan peringatan ayah chik (Abdul Hadi). (Tetapi) Allah juga laknat orang yang bersekongkol dengan perasuah, penjenayah, khianati mandat rakyat dengan tubuh PN, angkat abah kau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) jadi Perdana Menteri dengan “Scheme of Thing”.
“Selepas itu, tubuh pulak Perikatan Nasional (PN). Ketika ayah chik buat tak kata Allah laknat. Dunia… dunia,” ciapnya menerima Twitter beliau, hari ini.
Mahfuz mengulas kenyataan Abdul Hadi yang dilaporkan berkata, mustahil untuk negara menghapuskan budaya rasuah jika pemimpinnya masih lagi mengamalkan politik wang.
Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan langkah untuk mengekang aktiviti korupsi ketika ini seperti menampar nyamuk di kawasan longkang yang terdedah sehingga membiakkan nyamuk berkali ganda banyaknya.
Justeru, beliau mengingatkan, rakyat yang memilih pemimpin kerana politik wang yang berkonsepkan kebendaan pasti akan menempah kemusnahannya.
“Allah SWT melaknat pelaku, penerima, pemberi dan semua yang terlibat dengan kegiatan rasuah, termasuklah rakyat yang melantik atau mengundi pemimpin dengan rasuah dan memilih yang mengamalkan rasuah,” kata Abdul Hadi dalam satu hantaran di Facebooknya. – MalaysiaGazette