KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan laporan ekonomi yang diberikannya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah laporan yang sama diberikan kepada Kabinet.
Menteri Kewangan itu berkata, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin juga memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu perdana menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-Covid.
Malahan, fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah disebut berulang kali kepada Kabinet dan orang awam.
”Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan Parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya.
”Sebab tu sejak tahun lepas, kita dah cakap mengenai Akta Tanggungjawab Fiskal, untuk mengelakkan isu-isu seperti 1MDB, SSER (Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd) dan sebagainya dari berlaku lagi,” jelas Tengku Zafrul dalam kenyataannya melalui hantaran di Facebook.
Menurut beliau, umum tahu keadaan ekonomi negara buat masa ini, terutamanya selepas kesan negatif yang akibat Covid-19 namun fokus utama kerajaan sekarang adalah untuk memacu pemulihan negara agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa.
Menjana pekerjaan, membawa pelaburan, membantu perniagaan adalah antara banyak strategi yang telah dirancang untuk memacu pemulihan ini melalui dua tunggak utama: Jamin Kerja dan Semarak Niaga dalam Bajet 2022
Beliau berharap semua pihak dapat terus memberi keutamaan yang paling penting kepada pemulihan ekonomi untuk rakyat memandangkan negara berada di atas landasan yang betul.
“Aktiviti ekonomi, baik dari perspektif makro, perniagaan atau individu sedang beransur pulih dengan pantas berdasarkan indikator-indikator seperti pasaran kerja dan sebagainya.
”Saya yakin kita dapat pulih mengikut perancangan dan menjana ekonomi sekaligus terus membawa keyakinan kepada pelabur untuk terus datang ke Malaysia,” ujar beliau.
Menjana pekerjaan, membawa pelaburan, membantu perniagaan adalah antara banyak strategi yang telah kita rancang untuk memacu pemulihan ini melalui dua tunggak utama: Jamin Kerja dan Semarak Niaga dalam Bajet 2022
Baru-baru ini dalam ucapan di majlis pelancaran Perikatan Nasional Muhyiddin menyebut: “Saya semalam minta satu laporan untuk sampaikan pada saya oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul (Abdul) Aziz.
”Nanti, satu ketika saya akan bocorkan bagaimana kedudukan kewangan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette