KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) perlu bangkit dan terus berjuang dalam menghidupkan kembali sukan bola sepak di negeri itu, kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Hamidin melontarkan keyakinan bahawa Perlis mampu bangkit kerana landasan ke arah kecemerlangan sudah terbentuk menerusi akademi bola sepak, Akademi Star Lion Perlis FA dan liga sendiri (Liga Perlis), selain penyertaan Kelab Bola Sepak Perlis United (PUFC) dalam saingan Liga M3.
“Ini usaha yang besar dan harus dipuji kerana ia membuktikan komitmen Perlis dalam membangunkan semula bola sepak negeri,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasmi FAM hari ini.
Hamidin pada masa sama berkata, FAM sentiasa memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal serta pembangunan pertandingan kepada ahli gabungannya.
Terdahulu, PFA hari ini menerima kunjungan hormat delegasi FAM diketuai Hamidin.
Pada pertemuan selama dua jam itu, Presiden PFA, Zamri Ibrahim berkongsi maklumat terkini mengenai keadaan semasa bola sepak Perlis dan menyifatkan 2022 sebagai tahun kebangkitan semula pasukan Singa Utara.
“Sokongan FAM akan terus menjadi pemangkin buat PFA membangunkan lagi bola sepak Perlis,” katanya dalam hantaran itu.
Kunjungan hormat ke atas PFA adalah yang kesembilan selepas antaranya Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Sukan India Malaysia (MISC), Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).
Pertemuan hari ini juga merupakan kunjungan hormat pertama FAM pada 2022 selepas usaha yang selari dengan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) itu terhenti seketika berikutan penularan COVID-19.
Turut mengiringi Hamidin pada kunjungan hormat itu adalah dua Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram, barisan ahli jawatankuasa eksekutif FAM dan Setiausaha Agung badan induk itu Mohd Saifuddin Abu Bakar. – MalaysiaGazette