Zainab Ahmad

PUTRAJAYA – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti
(JPPKK) mencapai kesemua 22 sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pada tahun lepas.

Ketua Pengarahnya, Zainab Ahmad berkata, sebanyak 99 peratus institusi telah mencapai skor melebihi 85 peratus malah sejumlah 95 institusi lagi mencapai skor 100 peratus.

Menurutnya, politeknik dan kolej komuniti berjaya mengekalkan kecemerlangan di mana kadar kebolehpasaran graduan politeknik tahun 2020 adalah pada 91.4 peratus manakala kolej komuniti mencapai kadar 94.2 peratus.

“Tahun lalu saya telah perkenalkan empat inisiatif utama politeknik dan kolej komuniti sebagai satu organisasi untuk meningkatkan daya tahan atau resilience mendepani cabaran dan meneraju masa depan,” katanya Majlis Aspirasi Ketua Pengarah JPPKK 2022 di sini semalam.

Majlis itu bertemakan ‘Melestari Ekosistem, Mengadaptasi Pendigitalan’ yang diadakan secara hibrid.

Empat inisiatif utama yang diperkenalkan termasuk Majlis Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara, Pemantapan Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT), Pengukuhan Tadbir Urus Institusi dan Pengukuhan PSH Kolej Komuniti.

Dalam membentuk insan TVET yang berjaya, Zainab mengajak seluruh warga politeknik dan kolej komuniti untuk menekankan berkaitan KUSAVA.

KUSAVA bermaksud knowledge and understanding (pengetahuan dan pemahaman), skills and application (kemahiran dan aplikasi), values and attitudes (nilai dan sikap).

Menurut beliau, KUSAVA boleh ditanam melalui aktiviti pembelajaran dalam talian termasuk aktiviti pembangunan pelajar dan interaksi secara formal dan non-formal dalam ekosistem TVET yang bersesuaian di politeknik dan kolej komuniti.

Dalam pada itu, pada majlis aspirasi itu juga. Zainab turut melancarkan Buku Pelan Tindakan Pemulihan dan Garis Panduan Pengoperasian Politeknik dan Kolej Komuniti, Pasca Pandemik Covid-19.

Pelancaran buku itu akan memberi impak kepada pendidikan TVET khususnya dan institusi dapat disampaikan kepada pelajar dengan lebih berkesan dan kualiti pendidikan TVET tidak akan terjejas dengan adanya norma baharu.

Turut berlangsung dalam majlis yang sama, Pelancaran Portal Community College Management System (CCMS).

Ianya merupakan sistem pengurusan berpusat bagi tujuan pengurusan rekod pelajar kolej komuniti.

Sistem CCMS bakal menyediakan maklumat pelajar dan graduan Kolej Komuniti yang lengkap, terkini dan komprehensif sekali gus menjadi sistem utama dalam pengurusan maklumat pelajar dan graduan.

Di samping itu, pada majlis tersebut juga Zainab turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Institusi dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dan Kolej Komuniti Selayang telah dianugerahkan Anugerah Institusi Cemerlang Bagi Kebolehpasaran Graduan Tahun 2021.

Anugerah Institusi Cemerlang Bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat Tahun 2021 pula diberi kepada Politeknik Ungku Omar dan Kolej Komuniti Taiping.

Manakala, Anugerah Institusi Cemerlang Bagi Kolaborasi Impak Tinggi Tahun 2021 menjadi milik Politeknik Banting Selangor, Kolej Komuniti Kepala Batas, Politeknik Kuching serta Kolej Komuniti Miri. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast