PENULARAN wabak COVID-19 dapat memberi impak negatif kepada sektor ekonomi, sosial dan kesihatan. Sungguhpun begitu, tidak dapat dinafikan juga kebaikan kesan daripada wabak Covid-19 terhadap kehidupan seharian. Salah satunya adalah penggunaan teknologi digital yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat. Penggunaan teknologi digital dilihat semakin penting dalam membantu menjalani kehidupan dalam norma baharu.
Tambahan juga, perkembangan ekonomi digital sangat ditekankan dalam era pasca pandemik. Ini dapat dibuktikan dengan hasil dapatan kajian bahawa teknologi dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Selain itu, didapati ramai peniaga kecil juga telah mengaplikasikan penggunaan teknologi digital dalam menjalankan urus niaga dan perniagaan mereka. Penyebaran wabak Covid-19 yang begitu pantas menyebabkan negara Malaysia mengambil tindakan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah pencegahan.
Oleh itu, para peniaga perlu beralih kepada perniagaan secara atas talian, sekali gus dapat mengurangkan kesan PKP ke atas perniagaan mereka. Selain itu, pekerja sektor swasta, penjawat awam, pelajar, dan warga pendidik juga terpaksa mengadaptasi dengan pesekitaran atas talian. Walaupun terdapat kajian yang mendapati bahawa proses pengajaran dan pembelajaran atas talian tidak memberi tekanan kepada kebanyakan pelajar di universiti, tetapi, masih ramai golongan pelajar yang menyatakan bahawa mereka sebenarnya mengalami tekanan akibat daripada pembelajaran atas talian.
Ini kerana mereka tidak dapat menguasai pembelajaran atas talian dengan baik disebabkan oleh masalah jaringan, kuota yang terhad, suasana yang kurang kondusif, kemahiran warga pendidik dalam penggunaan teknologi digital dan kurang pengetahuan dalam meneroka pelbagai kaedah seperti aplikasi Padlet, Quizizz, Kahoot, Mentimeter dan lain-lain. Oleh itu, setiap masyarakat harus menerima ketentuan yang tidak pernah kita jangkakan berkenaan dengan penularan wabak Covid-19 yang melanda di seluruh dunia. Apa yang harus kita lakukan adalah melihat sisi keburukan itu dengan nilai suatu kebaikan.
Oleh itu, kita dapat berfikir bahawa pembelajaran atas talian banyak membantu dalam memudahkan urusan seharian kita. Kita juga harus sedar bahawa apakah tujuan utama adanya teknologi? Teknologi adalah untuk memudahkan segala urusan mahupun proses menyelesaikan masalah manusia. Dengan itu, penggunaan teknologi dalam pembelajaran juga dapat memberi pelbagai kemudahan kepada pelajar mahupun warga pendidik. Oleh yang demikian, para pelajar juga tidak hanya tertumpu kepada sesi pengajaran daripada pensyarah semata-mata, bahkan, mereka juga boleh mendapatkan ilmu daripada pelbagai sumber dalam rangkaian internet seperti Youtube.
Pelbagai video pengajaran telah dimuat naik atas talian yang boleh memberi manfaat kepada semua orang. Ini menunjukkan bahawa kemudahan melayari pelbagai media massa dan media sosial hanya di hujung jari. Tambahan lagi, kita dapat mempelajari pelbagai platform yang digunakan seperti Zoom, Google Meet, Webex, Microsoft team, Google Classroom, Yo teach, Blendspace dan sebagainya.
Di samping itu, bagi pelajar yang lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris juga boleh mempelajari secara atas talian iaitu dengan menggunakan khidmat guru-guru Bahasa Inggeris dari United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan sebagainya melalui applikasi Itali bagi meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris serta memperbaiki sebutan dengan betul. Oleh itu, mereka tidak perlu lagi pergi ke negara tersebut untuk memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Ini menunjukkan bahawa ilmu itu boleh diperolehi dengan mudah dengan adanya teknologi digital yang semakin canggih.
Para akademik dari luar negara juga boleh dijemput untuk berkongsi ilmu dengan para pelajar tempatan secara atas talian. Tambahan juga, pelbagai iklan mengenai seminar, persidangan, webinar dan bengkel yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dalam negara mahupun luar negara secara atas talian juga dapat dilakukan di Facebook dan laman web. Ini dapat membuktikan bahawa penyebaran ilmu yang semakin meluas melepasi sempadan disebabkan oleh adanya teknologi digital.
Dr Mohd Shahidan Shaari
Dr Noorazeela Zainol Abidin
Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan
Universiti Malaysia Perlis