Tim Leissner. foto Getty Images

NEW YORK – Seratus juta dolar – itu adalah kos menjalankan perniagaan dalam penipuan berbilion dolar 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc. Tim Leissner ketika memberi keterangan.

Leissner, 52, saksi utama Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dalam kesnya terhadap bekas Ketua Pelaburan Goldman Sachs, Roger Ng, memberi keterangan tentang pembayaran di hadapan juri di Brooklyn, New York.

Dalam keterangannya, Leissner mendakwa Jho Low, yang menjadi dalang skandal 1MDB, telah memberitahunya pihak mana yang perlu dibayar untuk mendapatkan kelulusan dalam meraih dan membelanjakan berbilion dolar untuk 1MDB.

Pegawai-pegawai dari Malaysia dan Abu Dhabi berada dalam senarai tersebut termasuk bekas Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Low berkata: “Syeikh tidak akan mahu jika kurang daripada AS$100 juta,” kata Leissner kepada juri.

Leissner memberi keterangan mengenai pelbagai pembayaran berkaitan skandal 1MDB untuk perbicaraan hari ketiga membabitkan Ng – satu-satunya kakitangan Goldman Sachs yang dibicarakan.

Bagaimanapun, Sheikh Mansour tidak pernah dituduh melakukan salah laku oleh AS.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 dan kerjasamanya dalam perbicaraan boleh membantu meringankan hukuman terhadapnya.

Ng pula mengaku tidak bersalah atas tuduhan konspirasi pengubahan wang haram dan rasuah.

Peguam bela Ng berkata, anak guamnya telah memberi amaran kepada Goldman Sachs mengenai urus niaga dengan Low.

Perbicaraan pada hari Rabu telah diganggu oleh pendedahan bahawa kerajaan gagal menyerahkan lebih 15,500 dokumen berkaitan Leissner.

Hakim berkata, dia akan menghentikan perbicaraan sebelum peguam bela mula menyoal Leissner dan peguam Ng beekata, perbicaraan itu mungkin berlaku kesilapan.

Pertemuan yang diterangkan oleh Leissner ialah ketika dia berdiri di hadapan rumah Low di Mayfair di London pada 2012, sebelum Goldman Sachs memberi kelulusan untuk melaksanakan urus niaga 1MDB dan mengumpulkan AS$1.75 bilion untuk dana itu, kata Leissner ketika memberi keterangan.

Katanya, projek itu tidak boleh bergerak ke hadapan melainkan 1MDB dapat penjamin luar untuk hutang yang akan ditanggungnya, katanya kepada juri.

Beliau berkatam, Low,yang tidak memegang jawatan rasmi di 1MDB tetapi menggunakan pengaruh luar biasa, boleh mendapatkan jaminan daripada dana kekayaan Abu Dhabi dan anak-anak syarikatnya.

Pada mesyuarat itu, Low mengeluarkan sekeping kertas dan “mula melukis kotak,” kata Leissner kepada mahkamah.

Di satu sisi muka surat itu terdapat beberapa kotak untuk pegawai Malaysia yang perlu dibayar dan di sebelah lagi kotak untuk pegawai Abu Dhabi, katanya.

Low berkata, di peringkat atasan, bayaran kepada pihak Malaysia dan Abu Dhabi yang terlibat “mesti sama dan dianggap sama,” jelas Leissner lagi.

“Dalam fikiran saya, itu bermakna kedua-dua pihak perlu mendapatkan AS$100 juta. Saya tidak boleh mengatakan saya terkejut,” katanya sambil menambah, bertahun-tahun bekerja di pasaran baru muncul telah mengajarnya bahawa rasuah dan sogokan kadangkala melibatkan pegawai kerajaan dalam projek yang dilakanakan.

Pada akhir pembentangannya, Low berkata, Leissner dan Ng juga akan “dijaga,” tambah Leissner.

“Saya sudah tentu gembira kerana saya akan membuat sedikit wang tambahan,” katanya kepada para juri.

Leissner menambah: “Saya mahu membuat lebih banyak wang, walaupun saya dibayar dengan baik di Goldman Sachs”.

Tambah Leissner, selepas mesyuarat, dia dan Ng berjalan pulang ke hotel yang menjadi tempat penginapannya.

“Semasa Roger dan saya berjalan, kami bersetuju bahawa kami tidak akan mengatakan apa-apa kepada sesiapa di Goldman Sachs atau di luar Goldman Sachs “tentang pembayaran” selain daripada peserta yang terlibat,” ujar Leissner.

”Sogokan perlu dibayar untuk merealisasikannya,” katanya, ‘tetapi kami sentiasa menyimpannya untuk kami berdua’. – Bloomberg

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast