Muhyiddin ketika berucap dalam ceramah umum di Parit Jawa, Muar sebentar tadi
Muhyiddin ketika berucap dalam ceramah umum di Parit Jawa, Muar malam tadi.

MUAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan sumpah laknat.

Jelas Muhyiddin, sekiranya sosok tubuh itu bukan Ahmad Zahid, maka siapa yang berjumpa beliau dengan membawa fail mahkamah.

“Buat apa nak sumpah laknat, itu satu kenyataan yang benar dari saya. Takkan yang bawa fail depan saya itu hantu? soal Muhyiddin di ceramah umum PN di Muar, malam tadi.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ahmad Zahid pada Isnin lalu yang menyatakan kesanggupannya untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan Muhyiddin bahawa dia pernah meminta pertolongan berkaitan perbicaraan kesnya di mahkamah.

Ahmad Zahid mendakwa dakwaan itu timbul menjelang musim pilihan raya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Muhyiddin turut mengulangi bahawa Ahmad Zahid memberitahu bahawa dia tidak bersalah dan menggesa agar beliau masuk campur.

“Saya kata ini buat apa bawa (fail) kepada saya macam mana saya nak tolong, dia (Ahmad Zahid) kata saya tak buat salah, masuk bicara dan awak bebas. itu jawapan saya.

“Memang dia mintak saya campur tangan, saya tidak mahu campur tangan,” katanya lagi.

Muhyiddin dalam pada itu berkata, beliau tidak akan melayan cabaran Ahmad Zahid untuk turut melakukan sumpah lakna mengenai pendedahan beliau sebelum ini.

“Saya nak sumpah, bukan main nak sumpah itu ini, pak (bapa) saya tok guru tak pernah ajar saya,” katanya lagi.

Muhyiddin dalam ceramah pada 17 Februari lalu mendakwa Ahmad Zahid melawatnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan dengan membawa ‘fail bertimbun’.

Beliau berkata fail itu adalah fail kes pertuduhan mahkamah Ahmad Zahid.

“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya dan kata Tan Sri ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan),” kata Muhyiddin ketika menceritakan tentang pertemuannya dengan Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast