PRN Johor Benut
Calon Barisan Nasional (BN) N.53 Benut, Datuk Hasni Mohammad diiringi Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir bagi menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Rumah Umno Benut, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2022.

PONTIAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap rakyat Johor akan terus menyokong Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad  yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ini kerana hanya nama Hasni satu-satunya dikemukakan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk dilantik kembali ke jawatan itu.

Beliau berkata, rakyat perlu bersama BN untuk membawa kegemilangan semula Johor sebagai negeri termaju di negara ini.

“Kita harap Hasni terus diterima rakyat terutama pengundi Benut dan mulai hari ini hingga 12 Mac nanti di mana Johor menjadi tumpuan seluruh negara termasuk Benut kerana di sinilah hero dan pahlawan kita.

“Kejayaan beliau bergantung kepada jentera kita dan saya yakin dengan kepimpinan beliau di Pontian dan Johor selepas 12 Mac ini, kita harap rakyat Johor tanpa mengira bangsa dan agama dapat bersama memajukan Johor sebagai negeri termaju di Malaysia.

“Apabila pada 12 Mac selepas penutupan pusat pembuangan undi, kita harap rakyat Johor akan dapat beri hadiah kepada Datuk Hasni dan sebagai poster boy kita, saya sebagai Pengerusi BN hanya akan mengemuka nama beliau kepada Sultan Johor bagi beliau terus dilantik sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat di Bilik Gerakan BN sebelum Hasni bergerak ke Dewan Serbaguna Benut untuk proses penamaan calon di sini hari ini.

Sebelum itu, Zahid yang tiba pukul 8.15 pagi meluangkan masa selama setengah jam bersarapan bersama Hasni.

Mengulas lanjut, Zahid berharap jentera BN akan berkerja keras dan bersungguh-sungguh serta mengenepikan perbezaan di kalangan mereka.

“Inilah ketikanya untuk BN bangkit semula di Johor,” katanya.

Hasni memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Mac tahun lalu.

Hasni, 61, yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut selama tiga penggal adalah Pengerusi BN Johor selain Pengerusi Perhubungan UMNO Johor.

Beliau menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April, 2019. – MalaysiaGazette