Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap pada sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Calon N.07 Bukit Kepong dan N.08 Bukit Pasir sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.

PAGOH – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mampu memberi isyarat cerah kepada komponen parti itu untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan PRN Johor sebagai “turning point’ atau titik perubahan dalam senario dan landskap politik tanah air.

“Kalau negeri Johor ini kembali ke pangkuan UMNO, kembali ditunjangi oleh UMNO dan mendapat sokongan yang padu dalam kalangan rakyat melalui majoriti yang menyakinkan, maknanya kemenangan besar kepada BN.

“Ini akan memberi isyarat yang jelas kemungkinan besar dari sudut perspektif negara bahawa BN mempunyai peluang dan harapan cerah untuk memenangi PRU yang akan datang,” katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan calon BN bagi DUN Bukit Kepong dan Bukit Pasir bawah Parlimen Pagoh  di Seri Pekembar hari ini.

Ketika diminta mengulas tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pegerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad yang  melakukan serangan ke tasnya, Najib berkata, serangan dua bekas pemimpin UMNO itu tidak dilayan rakyat.

“Takpalah dia nak attack (serang) tu pilihan dia. Tapi, di Melaka pun dia attack saya. Pada saya, pengundi tak ambil kira ini semua…mereka nak tahu apa yang boleh menentu masa depan mereka yang lebih baik dan menjamin aspirasi mereka supaya tercapai.

“Mereka mahu melihat pemulihan ekonomi negeri Johor, mereka ingin melihat aspirasi mereka dapat dipenuhi dari soal perumahan, dari segi jumlah pelaburan dan sebagainya,” katanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, rakyat mengutamakan dan mahu masalah mereka dapat diselesaikan sebaik mungkin.

“Ini semua dalam perhatian rakyat sebenarnya, bukan soal saya.

“Kalau dia nak attack saya sekalipun biarlah itu pilihan dia…tapi pada rakyat pokoknya agenda utama dia adalah masa depan mereka dan kehidupan mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast