PAGOH – Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi penasihat ekonomi Johor.
Katanya, Ahli Parlimen Pagoh itu telah menunjukkan rekod tidak baik dan gagal menguruskan negara sebagai perdana menteri.
Sambil memberikan contoh sewaktu menjadi ketua kerajaan, Muhyiddin gagal membantu memulihkan ekonomi rakyat ketika penularan wabak Covid-19, selain melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) paling lama.
“Kita boleh sebut kenapa tak boleh terima kerajaan pimpinan ‘Abah’ (Muhyiddin) sebab dia telah isytihar PKP paling lama sekali berbulan-bulan.
“Saya telah syor tak payah buat PKP lama. Buat PKP ketat dua, tiga minggu cukup, tapi buat PKP lama separuh masak, berapa susah orang, nak niaga susah.
“Semalam saya pergi makan kedai asam pedas mereka kata sebelum PKP niaga hebat, bila PKP, darurat susah, sekarang baru nak pulih balik.
“Jadi orang macam ini (Muhyiddin) nak pakai lagi? Tak boleh pakai, orang macam ini kita nak dia memimpin kita, nak jadi penasihat ekonomi Johor? Layak ke jadi penasihat ekonomi Johor kalau ini rekod (masa jadi PM) itu tak termasuk rekod masa jadi MB dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap memperkenalkan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong dan Bukit Pasir di bawah Parlimen Pagoh di Seri Pekembar, hari ini.
Muhyiddin sebelum ini menawarkan diri untuk menjadi Penasihat Ekonomi Johor sekiranya PN dapat membentuk kerajaan negeri.
Pengerusi PN itu sebelum ini mendakwa, pihaknya mempunyai agenda besar supaya Johor menjadi negeri paling cemerlang, gemilang dan rakyatnya menjadi maju, disegani serta dihormati.
Menerusi ucapannya juga, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mempersoalkan kebolehan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal yang juga bekas menteri besar kerana gagal menyelesaikan isu rakyat termasuk soal perumahan.
“Rumah orang miskin terbengkalai, projek rumah mampu milik tak buat (dalam kawasan Parlimen Pagoh termasuk bawah Bukit Kepong), ini projek tergendala, ini semua boleh diatasi tapi tak dibuat oleh siapa, oleh orang nak lawan (calon BN Bukit Kepong) Ismail Mohamad, dia ( Sahruddin) jasi MB selama sembilan bulan sahaja.
“Orang luar dari Pagoh tak ingat nama dia sebab pendek sangat jadi MB, orang inilah saya tengok watak dia berbanding watak calon kita Ismail jauh beza, jauh panggang dari api,” ujarnya. – MalaysiaGazette