Calon dari parti PEJUANG DUN N.38 Penawar, Rahmatullah Kamilin yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 di Dewan Bandaran Bandar Penawar.. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 FEBRUARI 2022.

DESARU – Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi kerusi N38 Penawar, Rahmattullah Kamilin berkata, keretakan dalaman yang kian membarah dalam Pakatan Harapan (PH) antara DAP dan PKR memberi peluang kepada Pejuang untuk melebarkan sayapnya.

Katanya, jika dilihat pihak yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri kali ini, Perikatan Nasiona (PN) dan Barisan Nasional (BN) bergabung di peringkat Persekutuan dan bergabung sebagai sebuah kerajaan.

“Tetapi ironinya, hipokrasinya di peringkat Kerajaan Negeri mereka bertanding sesama sendiri.

“Begitu juga PH yang mana kita tahu kerapuhannya boleh menyebabkan ketidakstabilan berlaku seandainya mereka dipilih menjadi kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette di Dewan Bandaran Bandar Penawar, di sini, hari ini.

Anak tempatan Penawar itu percaya, dengan berbekalkan pengalaman sebagai bekas pegawai Tentera Laut DiRaja Malaysia, beliau mampu berkhidmat lebih baik berbanding parti lawannya meskipun kubu kuat BN.

“Ini adalah tempat saya lahir, saya yakin dan percaya bahawa saya mampu berkhidmat dengan sepenuh hati saya Insya-Allah berteraskan amalan bersih, cekap, amanah dan berintegriti.

“Kami Pejuang bertanding di 42 kerusi, kami ingin menang membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan berintegriti, itulah harapan kami, itulah tawaran kami

“Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang tapi kami menjanjikan keikhlasan untuk bangsa agama kita dan juga memastikan bukan sahaja negeri bahkan di peringkat kebangsaan kita mampu membentuk sebuah kerajaan yang baik kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmattullah tidak menolak kemungkinan budaya negatif yang diamalkan BN, PN dan PH mampu memecahbelahkan undi mereka pada PRN Johor kali ini.

“Saya nak menawarkan tentang ideologi sebenarnya, pertembungan budaya, kalau benda betul kita kata betul, kalau salah kita kata salah.

“Kalau kita berbuat salah, pertembungan budaya itu saya fikir kita akan lawan. Walaupun Penawar ini orang tahu sejarahnya memang kubu kuat BN, tetapi saya tidak takut bertanding di sini.

“Saya sebagai anak jati di sini bertanggungjawab untuk memastikan bahawa tadbir urus baik, kebajikan masyarakat integriti itu terjaga,” jelasnya.

Katanya lagi, kegagalan kerajaan terdahulu menangani nasib generasi kedua Felda juga boleh memberi kelebihan kepada Pejuang kerana pengundi muda masih menagih peluang pekerjaan dan ekonomi.

“Saya sebenarnya anak Felda, jadi isu yang dekat dengan hati saya adalah kebajikan generasi kedua yang terlepas pandang, peluang ekonomi, perniagaan dan melanjutkan pelajaran.

“Kita juga memikirkan peluang pekerjaan, negara melahirkan graduan berpendidikan tinggi tapi pandanan peluang kelulusan dengan peluang pekerjaan itu masih kurang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast