KUALA LUMPUR – Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group Sdn Bhd dipilih sebagai pemenang anugerah kategori The BrandLaureate Bumiputera BestBrands 2022.

Anugerah tersebut disampaikan kepada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Datuk Syafiq Abdullah pada majlis gala yang dianjurkan oleh The BrandLaureate, badan pengiktiraf jenama dan penjenamaan.

Dalam satu kenyataan, Syafiq berkata, kejayaan yang dicapai bukanlah milik beliau seorang tetapi hasil kerja keras semua kakitangan yang bertungkus-lumus memastikan syarikat berjaya mencapai segala sasaran yang diinginkan.

“Kejayaan ini diharapkan akan menjadi pembuka lembaran kecemerlangan VFive Group di tahun 2022, ke haluan mencapai lebih banyak lagi kejayaan-kejayaan di masa akan datang.

“Kita tidak mahu selesa dan berpuas hati di tahap ini sahaja, malah akan terus berusaha dengan lebih kuat”, katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah banyak menyumbang secara langsung mahupun tidak langsung ke arah kejayaan VFive Group sehingga ke hari ini.

Katanya, lebih manis lagi apabila tahun ini merupakan tahun yang cukup bersejarah buat syarikat berkenaan yang telah genap 10 tahun beroperasi sejak ditubuhkan pada 2012.

“Alhamdulillah, kami sememangnya sangat-sangat bersyukur kerana sentiasa diberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari semua pihak termasuklah para pemegang taruh, rakan niaga, pelanggan, pembekal dan juga vendor.

“Hasil sokongan mereka adalah pencetus yang memacu VFive untuk mengapai kejayaan demi kejayaan. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan”, ujarnya. – MalaysiaGazette