Calon Pakatan Harapan N.42 Johor Jaya, Liow Cai Tung menunjukkan risalah kempen sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Jalan Dedap 13, Johor Jaya, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2022.

JOHOR JAYA – Calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Liaw Cai Tung mempersoalkan Parti Warisan Sabah (Warisan) meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Di Johor Jaya, kita ada lebih kurang 3,000 lebih pengundi daripada Sarawak dan Sabah. Apa matlamat Warisan nak meletakkan calon di sini? Jangan hanya mahu kacau undi,” katanya

Beliau menasihati para pengundi untuk membuat keputusan yang bijak supaya tidak terkeliru terutamanya dengan kewujudan calon daripada parti yang baharu bertanding seperti Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ditemui semasa program walkabout dengan mengedarkan risalah kempennya di Jalan Dedap 13 di sini tengah hari tadi, Cai Tung  penyandang kerusi DUN Johor Jaya berkata, banyak projek menambah baik infrastruktur awam telah dijalankannya.

Beliau mahu pengundi membuat keputusan bijak semasa hari mengundi kelak.

“Ketika 22 bulan menerajui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), projek pertama yang dibuat adalah menaik taraf sebuah medan selera,” katanya.

Calon Pakatan Harapan N.42 Johor Jaya, Liow Cai Tung menyampaikan risalah kempen calon kepada penduduk ketika mengadakan walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Jalan Dedap 13, Johor Jaya, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2022.Ditanya strategi untuk kekal memenangi kerusi Johor Jaya dan menewaskan tiga calon lain, Cai Tung menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai mencabar dan beliau akan terus turun padang bertemu penduduk seperti biasa selain berkempen secara live Facebook.

Pada PRU-14 lalu, Cai Tung mengalahkan Tan Cher Puk (BN) dan Kumutha A/P Rahman (PN) dengan majoriti 15,565 undi.

Pada PRN Johor kali ini beliau dicabar Chan San San (BN) yang juga merupakan Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, ahli perniagaan, Datuk Dr Ker Ching Seng (PN) dan Victor Chen Hain Kai daripada Warisan.

Kerusi DUN Johor Jaya mempunyai seramai 91,882 pengundi dengan majoriti pengundi berusia 21 hingga 29 tahun. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac ini sebagai hari mengundi bagi PRN Johor.- MalaysiaGazette