Calon Barisan Nasional N15 Maharani, Noor Farah Samsuddin bertemu penduduk setempat pada sesi walkabout di Parit Raja, Muar.

MUAR – Calon Barisan Nasional (BN) N15 Maharani, Noor Farah Samsudin sudah bersedia untuk menggalas cabaran dan harapan yang dipertanggungjawabkan oleh parti dalam mengharungi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mengakui dirinya agak gementar sebagai calon muka baharu, namun Ketua Puteri UMNO Bahagian Muar itu sudah menanam tekad untuk membuktikan dirinya mampu memberikan yang terbaik kepada masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani.

“Saya anggap ini (pemilihan sebagai calon) sebagai satu cabaran, sebagai orang muda dan baharu saya akan tunjukkan apa yang saya boleh buat untuk rakyat di sini.

“Kalau kita lihat semua barisan calon pun tidak kurang hebatnya termasuk penyandang sebelum ini pun masih menjadi calon, jadi saya perlu bekerja dengan lebih kuat bagi membuktikan bahawa saya orang muda nak bekerja untuk rakyat di DUN Maharani,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas sesi walkabout di Parit Raja di sini hari ini.

Kerusi DUN Maharani menyaksikan pertembungan enam penjuru di antara Noor Farah dengan calon yang juga penyandang kerusi, Nor Hayati Bachok (Pakatan Harapan), calon Perikatan Nasional, Abdul Aziz Talib; calon Parti Bangsa Malaysia, Hanis Asmui; calon Parti Pejuang Tanah Air, Riad Ahmad dan seorang calon bebas, Lim Kim Joo.

Dalam pada itu, Noor Farah berkata, beliau sudah hampir sembilan tahun berjinak-jinak dalam dunia politik tanah air dengan bermula di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Muar yang ketika itu disandang oleh Datuk Seri Razali Ibrahim.

Selain itu, Noor Farah juga pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha Puteri UMNO Bahagian Muar sebelum dipilih sebagai Ketua Puteri bahagian tersebut.

Jelas wanita berusia 36 tahun itu, beliau mahu fokus untuk meraih sebanyak mungkin sokongan daripada generasi muda dengan pelaksanaan Undi 18 pada PRN Johor.

“Fokus utama adalah kebajikan kerana sebelum ini saya adalah Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Muar di mana kita perlu melayan banyak aduan, jadi saya lebih selesa untuk fokus kepada kebajikan rakyat di DUN Maharani seterusnya memastikan fasiliti dan kemudahan di sini dapat dipertingkatkan.

“Selain itu, kita akan dekati seramai mungkin golongan muda dan saya yakin Undi 18 dapat memberi banyak kelebihan,” ujarnya.

Selain Noor Farah, BN turut menampilkan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Tinggi, Norlizah Noh sebagai calon di DUN Johor Lama pada PRN Johor kali ini.

Terdahulu, pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Nor Hayati Bachok yang juga Ketua Wanita Amanah Johor memenangi kerusi DUN Maharani dengan majoriti 5,674 undi menewaskan calon dari BN dan Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast