KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu memanipulasikan fakta berhubung tiga pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa kerajaan di bawah pentadbirannya.
Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor, Isham Jalil berkata, pencarum-pencarum dapat i-Citra, i-Lestari dan i-Sinar serta peminjam menikmati moratorium kerana desakan bertalu-talu pemimpin dan parti UMMO.
“Muhyiddin dah terasa bahang isu pengeluaran KWSP ini sebab orang yang tak beri keluar (KWSP) adalah menteri kewangan lantikan dia.
“Apabila orang kaitkan itu, dia terasa bahang dan cuba tepis dengan mengatakan dulu dia bagi tiga kali.
“Ini adalah manipulasi fakta,” katanya dalam wawacara bersama MalaysiaGazette.
Jelas Isham, pengeluaran tiga kali KWSP bukan Muhyiddin yang memberi tetapi selepas desakan oleh UMNO.
“Di Parlimen kita desak tiga kali, dia bagi sikit-sikit. Ingat tak dalam Bajet 2021, kalau kita tak desak KWSP dan moratorium, dia tak kasi.
“Datuk Seri Najib, Datuk Asyraf Wajdi, Ketua Pemuda dan saya mendesak, banyak desakan.
“Alih-alih, tiba-tiba dua hari lepas dia kata dia bagi. Dia kata yang tak bagi keluar siapa. Dia cuba perli perdana menteri sekarang walaupun dia tak sebut,” katanya.
Tambah beliau, walaupun tidak menyebut nama, tapi Muhyiddin cuba kias.
Soalnya, kenapa perlu berkias begitu sedangkan yang tidak memberi kebenaran pengeluaran KWSP adalah menteri kewangan lantikan Muhyiddin. – MalaysiaGazette