Ahmad Zahid Hamidi

AYER ITAM – Presiden UMNO melahirkan rasa gembira dengan ‘angin perubahan’ dalam kalangan pengundi di negara ini termasuklah di negeri ini yang semakin positif dengan Barisan Nasional (BN).

Malah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasakan angin perubahan mula bertiup kencang di Johor sejak kebelakangan ini menunjukan betapa rakyat mahu diterajui oleh sebuah kerajaan stabil.

Pandangan itu dikuatkan lagi dengan sokongan yang ditunjuk bukan sahaja pengundi Melayu sebaliknya juga dalam kalangan pengundi India dan Cina.

“Angin perubahan bertiup juga di Johor. Kita ada peningkatan sokongan dari pengundi India dan Cina.

“Kita juga kini sedang melihat sokongan dan telah lihat perubahan pengundi Cina bandar yang telah mula bertukar ‘dokongan’ pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi Sembang Santai DUN N20 Semarang di sini hari ini.

Sebelum ini, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lepas, kejayaan memenangi 21 daripada 28 kerusi menunjukkan sokongan rakyat terhadap BN kembali pulih, kata segelintir penganalisis dan pimpinan politik di negara ini.

BN juga berjaya mengungguli dengan undi popular sebanyak 40 peratus, diikuti PH (33 peratus) dan PN (24 peratus) biar pun kadar peratusan keluar mengundi adalah rendah berbanding sasaran SPR sebelum ini. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berkata, rata-rata calon BN yang diletakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini juga bukan sahaja 30 peratus muka baharu sebaliknya  mempunyai taraf pendidikan tinggi, mesra rakyat, berpengalaman serta kriteria yang lain-lain.

“Malah perlu diketahui, pengundi Johor juga tahu tentang track record yang telah dikemudi oleh 14 menteri besar bawah UMNO BN. Pastinya, kita akan dapat memberikan keyakinan kepada rakyat negeri ini tentang kemampuan kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast