Arangkannal Rajoo. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2022.

KOTA ISKANDAR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini berasaskan tiga teras utama.

Calon tunggal parti itu, R. Arangkannal, 46, berkata, ketiga-tiga teras berkenaan adalah ‘Perumahan Mampu Milik Bukan Mampu Mimpi, Kurangkan Kos Hidup Harian rakyat dan SkimJana Kerja.

“Sejak pandemik Covid-19, ramai yang terkesan dan kehilangan kerja dan masalah ini semakin runcing dan kita rasakan teras dalam manifesto ini adalah mustahak,” katanya yang juga dikenali sebagai Ara.

Antara Manifesto PRN Johor PSM untuk Kota Iskandar:

  • Meningkatkan binaan bilangan rumah dengan harga RM100,000 ke bawah.
  • Mengawal pemilikan pelabur asing untuk spekulasi dan mengaut untung.
  • Meningkatkan pembinaan rumah sewa PPR untuk golongan miskin bandar B20.
  • Mendesak kerajaan negeri mengembangkan industri bekalan makanan tempatan.
  • Memastikan Jaminan kerja daripada kerajaan untuk penduduk yang hilang punca pendapatan.
  • Mewujudkan kerja dalam sektor pekerjaan sosial akarumbi berfokus kepada komuniti miskin tegar, berpendapatan rendah dan Orang Asli.

Menurut Ara lagi, walaupun ini kali pertama PSM bertanding di DUN Johor tetapi beliau percaya partinya dapat menawarkan manifesto yang kuat selain mengenengahkan suara alternatif rakyat biasa menolak politik elit.

Pengerusi PSM, Jayakumar Deveraj (tiga kanan) bersam calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) N.49 Kota Iskandar, Arangkannal Rajoo (tengah) serta yang lain bergambar sambil menunjukkan manifesto sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bilik Gerakan PSM, Kota Iskandar, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2022.

PSM hanya meletakkan satu calon untuk bertanding kerusi DUN Kota Iskandar pada PRN Johor menentang empat parti lain iaitu Pandak Ahmad (Barisan Nasional); Samsudin Ismail (Perikatan Nasiona);  Dr Zaini Abu Bakar (Pejuang) dan Dzulkefly Ahmad (Pakatan Harapan).

Arangkannal yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kepimpinan PSM Johor sebelum ini pernah menjadi koordinator media bagi Presiden PSM, Mohd. Nasir Hashim bagi Parlimen Kapar ketika di bawah gagasan Pakatan Rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast