Pelancong yang terpaksa membatalkan percutian di pulau peranginan Pantai Timur yang kini ditutup susulan musim tengkujuh boleh menikmati keindahan sama di Pulau Undan, Telok Mas di sini apabila ia kini sudah dibuka kepada umum.

MELAKA – Pelancong yang terpaksa membatalkan percutian di pulau peranginan Pantai Timur yang kini ditutup susulan musim tengkujuh boleh menikmati keindahan sama di Pulau Undan, Telok Mas di sini apabila ia kini sudah dibuka kepada umum.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaacob berkata, ini kerana semua pulau-pulau peranginan di Pantai Barat termasuk Melaka tiada ancaman angin Monsun Timur Laut yang menyebabkan ketidaktentuan cuaca dan laut bergelora.

Malah menurutnya, keindahan marin akuatik di Pulau Undan itu juga dilihat setanding dengan keindahan pulau-pulau peranginan lain di sebelah Pantai timur negara yang sesuai untuk aktiviti snorkeling dan selam skuba.

Azhar Yaacob

“Inilah kelebihan 16 pulau di Melaka yang boleh dikunjungi pelancong sepanjang tahun berbanding di pantai timur seperti Terengganu, setiap tahun mereka terpaksa menutup operasi selama empat bulan bermula Oktober atau November akibat musim tengkujuh.

“Jadi sebelum Pulau Undan ini diwartakan sebagai Taman Laut Negara, kita pelawa pelancong yang tidak dapat ke Terengganu supaya datang ke sini pada bila-bila masa untuk menikmati keindahan batu karang selain ikan hiasan di sini yang lebih besar dan cantik berbanding tempat lain.

“Bagaimanapun, pelancong hanya dibenarkan melakukan aktiviti rekreasi di persisiran pantai dan bukannya bahagian rumah api pulau ini selain kunjungan pada waktu siang serta tidak boleh bermalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Eksplorasi Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol sempena cadangan perwartaan sebagai Taman Laut Negara di sini hari ini.

Perasmian program disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, usaha mempromosi ketiga-tiga pulau berkenaan, khususnya Pulau Undan bertujuan menjadikannya lebih dikenali sebelum permohonan kerajaan negeri untuk mewartakannya sebagai Taman Laut Negara diluluskan Kerajaan Pusat.

“Sebab itu diperingkat awal ini kita uar-uarkannya dahulu supaya lebih dikenali sebelum ianya menjadi Taman Laut kedua di sebelah Pantai Barat selepas yang pertama di Pulau Payar, Kedah.

“Cuma sebelum ia diwartakan, kita juga terpaksa hadkan bilangan pelancong mungkin maksimum 100 atau 150 sehari bagi menjaga kebersihan dan kawasan ekosistem terumbu karang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast