Ariss (tengah) menyantuni pengundi ketika berkempen di DUN Semerah

BATU PAHAT – Bekas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin mempunyai cara tersendiri untuk mendekati golongan muda dikawasan yang ditandinginya.

Beliau yang membuat penampilan semula selepas dicalonkan Parti Perikatan Nasional (PN) menggunakan kaedah menyatukan golongan tersebut dengan warga emas kerana menyifatkan orang muda sebagai sebahagaian daripada masyarakat.

Katanya, apa yang penting adalah bagaimana hendak membawa kepada kemakmuran dan kemajuan di kawasan berkenaan serta bagaimana kedua-dua golongan tersebut dapat hidup harmoni.

“Golongan muda ni sejak dulu lagi memang dijaga…kita jaga ikut apa kehendak dan minat mereka.

“Waktu zaman saya (jadi wakil rakyat) mereka minta gelanggang futsal, banyak sekali kita bina, merata tempat gelanggang futsal tu dan akhirnya ada sesetengahnya aktif digunakan dan ada yang tak tau apa jadi.

“Itulah keadaan orang muda ini, ia akan berkembang mengikut situasi semasa,” katanya ketika ditemui selepas melakukan walkabout bertemu pengundi di pekan Semerah, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pergerakan kempennya, Ariss mengakui memang terdapat sedikit kekeliruan dalam kalangan pengundi-pengundi yang ditemui terhadap dirinya.

Ini kerana, katanya, ketika menjadi wakil rakyat selama dua penggal di DUN Semerah sebelum ini, beliau mewakili parti Barisan Nasional (BN).

“Memang adalah sikit kekeliruan, dulu saya mewakil BN, kali ini saya mewakili PN.

“Tapi, bila kita pergi dan berjumpa serta beri penjelasan mereka rata-rata faham dan puas hatilah kenapa saya berada di tempat sekarang ini, walaupun boleh dikatakan BN dah jadi akar umbi.

“Ini tidak bermakna kita tak boleh menjelaskan kepada mereka untuk meletakkan PN menang di kawasan ini,” ujarnya.

Untuk rekod, Ariss pernah menjadi wakil rakyat di DUN Semerah dari tahun 2004 hingga 2013.

Beliau memiliki pengalaman dalam bidang korporat serta pernah menjadi Ahli Majlis Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan dan Perniagaan Bumiputera bagi Majlis Amanah Rakyat (MARA). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast