Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media selepas perjumpaan bersama Jentera BN bagi membantu calon Barisan Nasional N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Bongsu Sepadu Jalan Peladang, Machap, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 28 FEBRUARI 2022.

KLUANG – Rakyat tidak akan terus termakan cerita-cerita dongeng atau naratif pihak lawan kononnya pilihan raya diadakan semata-mata untuk menyelamatkan kumpulan kluster mahkamah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Ini kerana menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, cerita kluster yang sentiasa menjadi mainan parti lawan itu sudah tidak lagi relevan.

Malah beliau mendakwa ia tidak akan memberi apa-apa impak terhadap rakyat ketika ini.

“Saya sudah tanya banyak kali, kalau pun kita menang di Johor apa pula kena mengena dengan kluster mahkamah? Adakah kumpulan ini bertanding di Johor? Tidak. Apakah hakim akan terpukau menang di Johor? Tidak ada.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bertemu jentera PDM Machap hari ini.

“Menang besar di Melaka, Datuk Najib (Razak) kena juga. Datuk Zahid (Hamidi) juga diarahkan untuk bela diri. Banyak orang kata bila pemimpin jadi perdana menteri, tuduhan terhadap Datuk Najib, Datuk Zahid akan digugurkan seperti kes Lim Guan Eng yang digugurkan kesnya lepas PH (Pakatan Harapan) menang.

“Tidak ada pun. Sebab apa dia (parti lawan) buat macam itu? Kerana mereka tidak ada modal lain. Itu sahaja modalnya, hendak janji apa lagi pada PRN ini? Adakah mereka hendak janji hendak buat lebuh raya dari Johor ke Sumatera pula ke?

“Apa lagi mereka boleh janji? Tidak ada apa. Hendak tawar tol hapus lagi? Jadi ini sahaja naratif kluster mahkamah yang sudah guna pakai empat tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Machap hari ini.

Nama jolokan kluster mahkamah telah diberikan oleh pembangkang kepada beberapa pemimpin utama UMNO yang sedang berdepan dengan perbicaraan di mahkamah terutamanya Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Tok Mat percaya rakyat sudah muak dengan cerita-cerita rekaan pihak lawan yang hanya bertujuan untuk menumbangkan UMNO bukan untuk kepentingan rakyat hari ini.

“Rakyat sudah celik, mereka juga tahu. Pelbagai janji yang dibuat, contohnya di kawasan ini kononnya jika PH menang tol Simpang Renggam akan dihapuskan. Rasanya ada lagi.

“Janji-janji mereka juga sudah diketahui oleh rakyat hanya cakap kosong raih undi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast