Keadaan Jeti Bentayan yang kian uzur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2022.

MUAR – Golongan nelayan di Jeti Bentayan di sini mahu pemimpin yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dapat membela nasib dan menjaga kebajikan mereka selain menaik taraf jeti yang semakin uzur.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, kebanyakan nelayan di jeti itu terdiri daripada mereka yang sudah puluhan tahun mencari rezeki di laut.

Salah seorang daripadanya, Ahmad Daud Mohd Fuad, 56, mendakwa kumpulan nelayan di jeti itu ibarat dianaktirikan berbanding nelayan yang berada di jeti lain.

Ahmad Daud Mohd Fuad. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2022.

Menurutnya, melihat kepada keadaan Jeti Bentayan, ia seharusnya sudah lama dibaiki atau dinaik taraf dengan pelbagai jenis kelengkapan.

“Bandar Muar ini adalah bandar utama masuk ke negeri Johor, sepatutnya kerajaan negeri, pihak persatuan mahu pun jabatan kena bangunkan kawasan ini tapi kita tengok jeti nelayan Muar makin lama makin teruk, uzur dan tak dibaiki seolah-olah tidak ada yang mengambil berat.

“Lagi satu, bantuan yang sepatutnya golongan nelayan dapat, banyak tersangkut di tengah jalan dan saya sendiri tidak tahu kenapa ia nya berlaku,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Jeti Bentayan hari ini.

Justeru, Ahmad Daud yang merupakan salah seorang pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan berharap pemimpin yang akan dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dapat membela nasib mereka.

Walaupun tidak bersetuju PRN Johor diadakan ketika kes jangkitan Covid-19 masih tinggi, namun Ahmad Daud menasihati seluruh rakyat Muar dapat membuat pilihan yang tepat supaya dapat memberi manfaat semula kepada kawasan mereka.

“Kalau boleh pemimpin biar yang betul dan telus, nak bantu golongan nelayan, jangan pentingkan diri sendiri.

“Sepatutnya kita ini tak boleh buat pilihan raya kerana Covid-19 tapi sebab ramai nak berebut kuasa jadi macam inilah,” katanya yang sudah lebih 30 tahun menjadi nelayan.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Zubir Abd Rahman, 60, mahu apa sahaja parti yang memegang tampuk pemerintahan negeri kali ini dapat menjalankan kerja dengan amanah dan telus.

Zubir Abd Rahman. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2022.

“Peristiwa politik sebelum ini kita jadikan teladan supaya tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Pemimpin yang jujur dan amanah sangat lah diharapkan pada PRN Johor kali ini serta dapat membantu golongan nelayan seperti kami.

“Soal bantuan membabitkan golongan nelayan juga sepatutnya tidak dicampur adukkan dengan politik, bantu mereka sebagai rakyat misalnya dari segi harga pukat supaya ia dapat dikawal dan tidak sewenang-wenangnya harga dinaikkan,” katanya yang juga pengundi DUN Bentayan pada 12 Mac depan.

Turut senada, seorang nelayan belia, Wan Mohd Khairi Wan Kamarudin, 39, yang mahu jeti di kawasan tersebut diberi nafas baharu terutama daripada segi kelengkapan dan keperluan selain menjaga kebajikan para nelayan.

Wan Mohd Khairi Wan Kamarudin. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2022.

Jelas Wan Mohd Khairi, dia melakukan dua pekerjaan sejak lima tahun lalu sebagai pekerja dalam bidang teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta dan juga turun ke laut sebagai nelayan.

“Saya sudah ada di sini sejak tahun 2017 tapi apa yang boleh dilihat adalah dari segi agihan bantuan yang tidak menyeluruh dalam kalangan nelayan di daerah ini.

“Jeti ini merupakan yang kedua terbesar selepas Parit Jawa tapi ibarat dianak tiri yang kita pun tak pasti atas faktor apa, sedangkan saiz bot di kawasan pun lebih besar tapi dari segi kelengkapan pula kurang,” katanya yang merupakan pengundi di DUN Maharani.

Tambahnya lagi, golongan nelayan tidak sepatutnya dipinggirkan kerana mereka merupakan tulang belakang negara dalam membekalkan sumber protein.

“Kalau boleh apa sahaja bantuan biarlah betul-betul sampai kepada golongan yang sepatutnya selain bantu mempercepatkan segala proses terutamanya membabitkan dokumentasi,” katanya.

Bagi seorang peniaga, Kamaruzaman Ahmad, 55, PRN Johor merupakan medan penting untuk rakyat memilih para pemimpin mereka bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kamaruzaman Ahmad. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2022.

Menurutnya yang merupakan pengundi di DUN Simpang Jeram, rakyat negeri Johor turut memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan bukannya keadaan seperti sebelum ini.

“Saya suka juga terlibat dengan cerita politik tapi yang paling penting rakyat negeri Johor mereka mesti bijak memilih pemimpin untuk di undi. Kalau kita salah memilih pada hari ini bermakna Johor akan berada dalam masalah bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Jadi berfikir dengan baik dan dapat maklumat yang tepat, kemudian kita terjemahkan dalam bentuk undian, pilih lah pemimpin yang condong ke kanan nescaya mereka juga akan ikut condong ke kanan,” ujarnya.

Untuk rekod, pada PRN Johor kali ini, DUN Bentayan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan, Ng Yak Howe yang juga merupakan penyandang kerusi dengan menentang calon dari Barisan Nasional, Gan Q’I Ru dan calon Perikatan Nasional, Eddy Tan Kok Hong.

Manakala kerusi DUN Maharani pula menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon Barisan Nasional, Noor Farah Samsuddin dengan calon yang juga penyandang kerusi, Nor Hayati Bachok (Pakatan Harapan), calon Perikatan Nasional, Abdul Aziz Talib; calon Parti Bangsa Malaysia, Hanis Asmui; calon Parti Pejuang Tanah Air, Riad Ahmad dan seorang calon bebas, Lim Kim Joo. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast