Gan Q'i Ru bertemu dengan pengundi-pengundi ketika melakukan walkabout di medan selera 3A, Muar pagi tadi.

MUAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Bentayan, Gan Q’i Ru merayu pengundi-pengundi memberikan kepercayaan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Mengakui beliau adalah calon muka baharu, namun ia tidak menghalang beliau untuk menawarkan khidmat terbaik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan ini.

“Saya akan cuba yang terbaik, semua orang tahu saya anak jati Muar.

“Saya harap rakyat Bentayan undi saya sebab saya faham masalah rakyat di sini dan sentiasa mengambil tahu isu setempat.

“Saya tak cakap saya yakin boleh menang tapi saya kuat bekerja demi rakyat Bentayan,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mengadakan siri walkabout di medan selera 3A, Muar sebentar tadi.

Dalam manifestonya, Q’i Ru berjanji akan menjadikan Bentayan sebagai salah satu hab pelancongan di Muar.

Malah beliau juga mahu mewujudkan tapak perniagaan food truck yang masih belum diterokai di Bentayan

“Saya nak Bentayan jadi pusat pelancongan yang pesat membangun. Kalau menang saya akan wujudkan food truck.

“Malah saya juga bercadang untuk kerajan negeri membina parkir bertingkat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah. Kalau saya wakil rakyat saya akan cuba yang terbaik,” katanya lagi.

DUN Bentayan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Ng Yak Howe yang juga merupakan penyandang kerusi dengan menentang calon BN, Gan Q’i Ru dan calon Perikatan Nasional (PN), Eddy Tan Kok Hong dari Gerakan. – MalaysiaGazette