Hwa Kwong menyantuni pengundi-pengundi ketika melakukan walkabout di Bukit Pasir, Batu Pahat

BATU PAHAT – Tiga isu besar menjadi perkara penting kepada Ter Hwa Kwong untuk diselesaikan sekiranya beliau diberi peluang menjadi wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram.

Tiga perkara yang digariskan untuk dilaksana oleh calon Barisan Nasional (BN) dari parti MCA itu adalah isu kesesakan jalan raya di bandar Penggaram, masalah banjir dan air pasang serta masalah kekurangan kawasan perindustrian untuk perniagaan.

Katanya, kawasan berkenaan telahpun ketingagalan 10 tahun daripada segi pembangunan yang sepatutnya wujud di kawasan bandar terutama dalam aspek ekonomi.

“Kita memang menghadapi kesesakan lalu lintas, dalam majlis perbandaran saya telah menyuarakan kita kena buat jejantas di bandar sebab nak kurangkan kesesakan ini.

“Selain itu, masalah banjir dan air pasang juga berlaku dan ini harus diberi tumpuan. Ini memang satu perkara yang rumit dan memerlukan masa serta peruntukan yang banyak dari segi kewangan.

“Kita perlu bekerjasama dengan kerajaan Johor khususnya kerajaan Pusat untuk mendapatkan peruntukan yang besar dalam usaha membersihkan Sungai Batu Pahat dan itu antara misi dan visi saya,” katanya yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP).

Hwa Kwong berkata, berkenaan kekurangan kawasan perindustrian, ia perlu diwujudkan segera agar peluang pekerjaan dapat disediakan kepada semua peringkat usia.

Tambahnya, ia juga bagi membantu golongan yang terlibat dalam perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) yang mana mereka memerlukan tempat untuk menjalankan aktiviti dengan lebih sempurna.

“Kebajikan orang kurang berkemampuan juga akan kita utamakan, selain pembangunan dari segi kawasan yang memerlukan sesuatu yang baru sebab Batu Pahat ini dalam proses pemutihan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast