Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ikhtiar BN Johor sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dikenali sebagai Ikhtiar BN Johor disifatkan sebagai satu perancangan lengkap untuk rakyat dan negeri Johor.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kini hanya tunggu BN dipilih semula sebagai kerajaan negeri bagi parti komponen itu menyambung semula perancangan yang telah dibuat.

“Kekuatan ekonomi tempatan daerah-daerah ini sudah dikenalpasti hanya menunggu mandat baharu rakyat untuk kita laksanakan.

“Sebab itulah ikhtiar kita ini adalah sesuatu untuk menyakinkan rakyat bahawa kita tidak akan bazirkan rakyat dengan hanya duduk di meja-meja mesyuarat. Dengan berbincang siapa nak buat itu, siapa nak buat ini. Semuanya telah sedia.

“Saat tertubuhnya kerajaan, sekiranya diberikan mandat rakyat akan melihat semua sistem bergerak serta-merta selepas keputusan dibuat,” kata Hasni yang merupakan bekas Menteri Besar Johor.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Ikhtiar BN Johor di Bangunan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya Johor BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri Benut itu ditanya mengenai perancangan yang akan dilakukan oleh BN bagi menaikkan semula ekonomi Johor sekiranya dipilih semula menjadi kerajaan.

“Kekuatan daerah-daerah ada. Kita perelokkan pelabuhan Bater Trade di Batu Pahat. Adanya kelulusan kerajaan negeri supaya satu projek berasaskan gas, perkapalan akan diwujudkan di Muar yang dinamakan Maharani Energy Gateway satu kawasan pertumbuhan baru. Kita tahu juga Muar adalah bandar perabut Malaysia bukan bandar perabot Johor.

“Kekuatan bandar-bandar ini telah dikenalpasti daripada utara, timur kalau lihat Mersing sebagai perkampungan nelayan ada potensi pelancongan pulau-pulau yang ada. Kenapa tidak kita bangunkan Mersing sebagai pengeluar produk pertanian yang penting dalam negara.

“Sebab itu kita telah bersetuju Jemaluang Dairy Valley sebagai pembekal susu segar negara datangnya daripada Mersing. Projek pun telah berjalan dan akan menjadi penyumbang besar ekonomi kepada masyarakat Mersing,” katanya.

Hasni berkata, Ikhtiar BN Johor adalah kesinambungan terhadap pentabirannya selama dua tahun sebagai Menteri Bersar Johor.

Dalam tempoh dua tahun tersebut beliau telah membuat perancangan dengan menyediakan landasan yang terbaik untuk negeri Johor terus memacu ke hadapan.

Perancangan itu juga membolehkan Johor berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti pandemik Covid-19, kelembapan ekonomi dan penutupan sempadan antara Malaysia dan Singapura.- MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast