Salahuddin Ayub

BAKRI – Nampaknya Pakatan Harapan (PH) masih belum memutuskan calon menteri besarnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sama seperti Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang berkata, perbincangan mengenainya masih belum diputuskan lagi.

“Mungkin Majlis Presiden PH akan bincang dalam masa terdekat tapi tak mahu komen banyak.

“Saya pun bertanding biarlah diselesaikan oleh Majlis PH, setakat ini belum ada perbincangan lagi,” katanya kepada media selepas program serahan bubur lambut di Surau Ar-Rahman, Jalan Bakri, Muar hari ini.

Bagaimanapun, nama Dr Maszlee Malik disebut-sebut antara calon Menteri Besar Johor seandainya PH memenangi PRN kali ini.

Bekas Menteri Pendidikan PH itu diletakkan sebagai calon PKR di DUN Layang-layang.

Ditanya mengenai kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Saarani Mohamad bahawa Barisan Nasional (BN) telah mempunyai 40 peratus penyokong tegar di Johor, Salahuddin berkata PH turut mempunyai pengundi putih.

Jelasnya, semua parti mempunyai penyokong tegar masing-masing.

“Semua parti hari ini tingkatkan pendekatan pengundi bukan hanya BN UMNO ada undi putih kita pun ada undi putih, ia berlaku pada semua parti.

“Kita sedang meningkatkan pendekatan supaya kita dapat keluarkan pengundi-pengundi ini dan menjadi penyokong tegar kita,” jelas Ahli Parlimen Pulai itu.

Saarani pada Ahad lalu berkata, BN sudah ada 40 peratus dan harus mencari 10 peratus lagi untuk mencapai kemenangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast