Ceramah PH
Pegawai kesihatan mengeluarkan kompaun kepada penganjur kerana melanggar SOP semasa Ceramah Mega Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Taman Mutiara Rini Skudai, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

ISKANDAR PUTERI – Suasana tegang antara penganjur ceramah mega Pakatan Harapan dan penguatkuasa Kementerian Kesihatan mengakhiri Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di sini malam ini.

Keadaan itu tercetus apabila penguatkuasa KKM mengeluarkan tiga notis kompaun berjumlah RM3,000 kepada penganjur di Bilik Operasi Utama Kota Iskandar ekoran pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) semasa berkempen.

Tiga kesalahan dikesan oleh Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru iaitu tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal peserta dan tidak melabelkan indikasi laluan masuk dan keluar di lokasi ceramah.

Rundingan di antara penyandang Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad dan penguatkuasa kesihatan selepas program itu bertukar tegang apabila beliau yang juga calon PH di kawasan ini tidak berpuas hati dengan tindakan kompaun itu.

Beliau mempersoalkan mengapa pihak penguatkuasa tidak membuat teguran awal atau mengingatkan penceramah supaya memakai pelitup muka ketika berucap.

“Penceramah kita jarak daripada yang lain (penonton).  Tak sebut pun SOP kalau bagi ceramah perlu pakai mask. Tambahan jarak penceramah dengan penonton jauh.

“Memandangkan ini baru pertama kali, awak sebagai pegawai perlu ada budi bicara, bagi teguran dan amaran. Saya akan pastikan lepas ini ceramah kita akan pakai pelitup muka,” kata Dzulkefli dalam nada tidak berpuas hati.

Ceramah mega PH
Pegawai kesihatan memantau pematuhan SOP) semasa Ceramah Mega Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Taman Mutiara Rini Skudai, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

Dzulkefly berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Majlis Perundangan parti berkenaan kejadian itu bagi memastikan setiap undang-undang itu adil kepada semua pihak.

Gabungan PH mengadakan Ceramah Mega di sini malam ini menampilkan calon-calonnya iaitu Liew Chin Tong (Perling) dan disertai seorang calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Puteri Wangsa, Amira Aisya.

Program yang berakhir jam 10 malam itu turut dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengerusi Amanah Negeri Johor, Aminolhuda Hassan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast