Calon PN DUN Layang-Layang, K Alagathiran.

SIMPANG RENGGAM – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Layang-Layang mahu kembali merancakkan pembangunan perumahan terutama rumah mampu milik yang telah terhenti hampir 30 tahun.

 K.Alagathiran yang merupakan seorang kontraktor sivil dan kali pertama bertanding sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkata, dia sedih kerana penduduk setempat tidak pernah menikmati pembangunan pesat atau moden sejak sekian lama.

Malah sepanjang tempoh itu tidak ada rumah-rumah baharu didirikan.

Ini juga menyebabkan golongan muda lebih banyak berhijrah meninggalkan kampung masing-masing untuk ke tempat yang lebih banyak pembangunan atau bekerja ulang alik seperti di Senai, Kulai dan sebagainya.

“Jika anda tanya isu atau apakah misi dan visi saya, saya hanya akan kata satu sahaja iaitu perumahan baharu dan juga peluang pekerjaan. Sepanjang anda ikut saya pasti akan tertanya mana perginya golongan muda di kawasan ini bukan?

“Anda mungkin akan nampak orang tua atau kanak-kanak sahaja. Mungkin sebelah petang anda akan nampak golongan muda, itu kerana kebanyakan mereka tidak ada peluang pekerjaan yang baik di sini sehingga menyebabkan mereka mencari rezeki di luar.

“Golongan keluarga muda yang tidak mempunyai kediaman sendiri sehingga mereka terpaksa menumpang di rumah ibu bapa masing-masing sehingga ada yang sampai empat keluarga menetap di kediaman sama,” katanya.

Calon PN DUN Layang-Layang, K Alagathiran walkabout jumpa penduduk setempat.

Alagathiran berkata,  dia sudah berkhidmat sebagai wakil parti sejak enam tahun lalu yang mana telah melihat sendiri bagaimana isu perumahan adalah antara aspek penting bagi pengundi di sini.

DUN Layang-Layang  menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Alagathiran akan di cabar oleh calon-calon bukan calang-calang antaranya bekas Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang Datuk Ab Mutalip Abd Rahim dan Ahmad Shafiq Othaman calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pada PRU14, kerusi DUN Layang-Layang dimenangi calon BN Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan majoriti 364 undi menewaskan M.Murugan mewakili Pakatan Harapan dan Mohd Jubri Selamat (PAS).

Kata Alagathiran lagi, beliau sudah ada perancangan membangunkan projek-projek perumahan dengan mengenal pasti tapak-tapak bersesuaian.

“Ini bukan retorik, ini realiti sebenar. Kita akan pastikan projek perumahan khususnya di kawasan kritikal ini akan dapat dibina kerana tidak mahu lagi melihat satu kediaman didiami beberapa keluarga hingga menimbulkan masalah.

Mengikut pecahan pengundi di DUN Layang-Layang ,majoritinya Melayu seramai 13,000 manakala kaum Cina seramai 7,500 dan 3,300 kaum India. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast