Reezal bercakap sesuatu kepada peniaga-peniaga ketika mengadakan lawatan kerja ke Bangunan Arena Niaga di pekan Parit Yaani di sini, hari ini.

BATU PAHAT – Semua pihak yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dinasihatkan agar sentiasa menghormati prinsip Rukun Negara agar menjadi contoh kepada rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jika prinsip keluhuran Perlembagaan dalam Rukun Negara itu tidak diamalkan, bagaimana mereka boleh menunjukkan kepada rakyat contoh yang baik.

“Semalam saya sendiri pun ditegur, Datuk Mohd Puad Zarkashi pun ditegur berceramah yang perlu berakhir pada jam 10 tidak boleh lebih dari pukul 10 dan ini adalah ketentuan yang ditetapkan.

“Kalau nak dikira tempat-tempat yang dianggap kubu kuat kepada kami dan UMNO, kami lagi suka kalau dibuat sehingga pukul 12, ia akan memberi limpahan kekuatan kepada kami sebab kami ada jentera di bawah.

“…tapi malangnya saya pun terkekang, saya terpaksa kembali di tempat bilik operasi saya, tempat penginapan saya,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Bangunan Arena Niaga di Parit Yaani di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai rakaman video yang tular menunjukkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memarahi pihak berkuasa yang supaya dihentikan satu ceramah kempen Pakatan Harapan (PH) di pekan Yong Peng pada 26 Februari lepas.

Dalam rakaman itu, Kok dilihat berkeras meminta polis supaya membenarkan mereka berceramah sehingga pukul 10.30 malam dengan alasan program yang dirancang bermula lewat setengah jam.

Bagaimanapun, polis bertegas mengarahkan ceramah tersebut dihentikan mengakibatkan Kok berang dan berkata “tunggu kami jadi kerajaan, kami tidak akan buat SOP yang semacam ini”.

Mengulas lanjut Reezal yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, rakyat sudah muak dan jelak dengan sikap biadap yang ditunjukkan oleh pemimpin seperti itu.

Katanya, di Johor, rakyat di negeri ini sentiasa bersederhana dan mereka tidak suka orang menghina secara berlebih-lebihan.

Tambah beliau, rakyat di negeri Johor juga suka melihat hati dan budi seorang sehingga ada orang yang dihina tetapi mendapat sokongan yang jauh lebih baik daripada orang yang menghina.

“Jadi, saya rasa gunalah cara untuk cari kemuliaan sendiri-sendiri dengan berkempen secara luhur dan baik,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast