Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama calon Perikatan Nasional N.09 Gambir, Mohd Solihan Badri (kiri) beramah mesra dengan masyarakat cina bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambar, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 29 FEBRUARI 2022.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama calon Perikatan Nasional N.09 Gambir, Mohd Solihan Badri (kiri) beramah mesra dengan masyarakat cina bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambar, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 29 FEBRUARI 2022.

PAGOH – Perikatan Nasional (PN) menetapkan semua calon mereka di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mengangkat sumpah akujanji untuk tidak terlibat dengan rasuah dan salah laku.

Jelas pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin langkah itu sebagai salah satu usaha untuk membentuk kerajaan yang bersih di Johor.

“Semua calon kita seramai 56 orang akan angkat sumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak akan melakukan rasuah dan salah guna kuasa ataupun perkara yang boleh merosakkan negeri Johor.

“Ini menunjukkan kesungguhan kita untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti yang berpegang kepada prinsip bersih, cepat dan tidak melakukan apa-apa yang boleh memudaratkan,” katanya selepas hadir program menyantuni masyarakat Cina di pekan Bukit Gambir, hari ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut berkata, langkah itu penting bagi PN memfokuskan kepada usaha memulihkan ekonomi Johor sekiranya membentuk kerajaan pada malam 12 Mac ini.

“Saya harap pengundi Johor akan meneliti perkara itu, kalau kita terpilih dan berupaya membentuk kerajaan apa yang kita ikrarkan ini akan dipantau oleh sebuah jawatankuasa khas dimana kita akan pilih golongan profesional dan tokoh-tokoh Johor yang akan duduk disitu dan beritahu apa yang kita belum lakukan.

“Janji ini bukan janji kosong kita berpendapat di mana sekarang adalah cepatkan pemulihan negeri Johor. Saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara nak melihat bagaimana Johor boleh bangkit dan tingkatkan ekonominya dengan tempoh yang cepat dan kita perlukan sempadan dibuka,” katanya.

Sebelum ini di PRN Melaka, gabungan itu turut membuat perkara sama terhadap 28 calon mereka pada 13 November tahun lalu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata PN masih masih belum membuat sebarang pendirian berhubung cadangan supaya pihak berkuasa agama setiap negeri meminda syarat pertukaran agama anak secara sebelah pihak.

Beliau bagaimanapun mengakui isu penukaran agama merupakan perkata sensitif dan ia memerlukan pucuk pimpinan gabungan itu berbincangan dengan lebih teliti.

“Kami masih belum membuat sebarang ketetapan lagi. kita perlu meneliti setiap aspek termasuk perlembagaan, undang-undang dan sebagainya,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian PN susulan desakan Dewan Ulama Pas supaya pihak berkuasa agama setiap negeri “segera” meminda syarat pertukaran agama anak secara sebelah pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast