Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyampaikan ucapan pada ceramah kelompok DUN Semeran dan DUN Sri Medan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bilik Gerakan BN PDM Lubok, Batu Pahat, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2022.

BATU PAHAT – Barisan Nasional (BN) ketika ini sedang fokus sepenuhnya bagi memastikan setiap pengundi keluar untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, jentera Pemuda BN juga berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi memandangkan tempoh berkempen kini berbaki lapan hari lagi.

“Saya dah pergi hampir ke semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan saya lihat momentumnya makin baik cuma kali ini kita hendak memfokuskan kepada strategi untuk memastikan para pengundi ini keluar mengundi dan kenal dengan calon-calon yang dipersembahkan kepada mereka.

“Ini kerana lebih daripada 80 peratus daripada calon-calon yang diketengahkan oleh BN adalah calon baharu, sudah tentu lah penting untuk kita perkenalkan kepada seramai mungkin pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette selepas ceramah kelompok DUN Semerah dan DUN Sri Medan di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Lubok di sini malam tadi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keyakinan BN untuk merampas kerusi DUN Semerah, Asyraf berkata, situasi di kawasan itu amat berbeza berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Jelas Asyraf, jika dahulu sentimen marah dan benci begitu menebal namun, mereka kini sudah kembali menghulurkan tangan untuk menyambut BN.

“Kita sudah masuk ke kawasan yang dahulunya waktu PRU14 suasananya nampak berbeza sekali kerana kawasan tersebut memang sukar didekati sewaktu sentimen marah begitu menebal.

“Tapi kali ini mereka sudah menghulurkan tangan bahkan yang menariknya ramai kalangan penyokong Pas sendiri menyatakan komitmen untuk membantu kita dan memberikan sokongan kepada calon-calon BN khususnya di DUN Semerah dan Sri Medan.

“Pendekatan kita adalah pergi kepada semua pengundi dan kita tidak hanya pilih mereka yang menyokong, tapi kita dekati semua termasuk pengundi berketurunan Tionghua kerana kita lihat pengundi Cina juga menunjukkan kesediaan menerima kehadiran jentera BN,” ujarnya.

DUN Semerah menyaksikan pertembungan lima penjuru di antara calon BN, Mohd Fared Khalid dengan calon Parti Bumiputra Perkasa Malaysia, Kamarolzaman Mohd Jidi; calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ariss Samsudin; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mahdzir Ibrahim dan calon yang juga penyandang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Pada PRU14, Khuzzan menang di kerusi DUN Semerah dengan majoriti tipis 98 undi menewaskan calon BN, Mohd Ismail Roslan dan calon pas, Ustaz Wan.

Manakala di DUN Sri Medan pula melibatkan empat penjuru di antara calon yang juga penyandang dari BN, Datuk Zulkurnain Kamisan dengan calon PKR, Azmi Masrani; calon Pejuang, Mohd Firdaus Abdul Malek dan calon PN, Halim Othman Kepol.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast