PAGOH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengakui faktor anak tempatan memberi kelebihan kepadanya ketika berkempen.
Katanya, sebagai calon muda tempatan beliau sudah lama bergerak mendekati pengundi muda di Bukit Pasir.
“Ada banyak program dah buat dan itu kelebihan calon tempatan sebab kita sudah lama bergerak di kawasan sendiri dan kita sudah jumpa.
“Ada kawan-kawan lama yang kita jumpa dan rasanya lebih daripada separuh kita jumpa secara bersemuka dan kita akan teruskan dan perlu diperkemaskan untuk raih undi mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Kompleks Perkembar UMNO Pagoh, hari ini.
Bekas jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu turut berkata, beliau dan jentera kini menggerakkan strategi baharu menerusi program perjumpaan bersemuka dan juga menggunakan media sosial secara lebih bersasar.
“BN memiliki jentera yang tersusun jadi sepanjang tujuh hari kempen kita dapat tahu kawasan mana yang memerlukan tumpuan lebih dan kawasan mana yang memerlukan program tertentu.
“Pelbagai program telah dirancang dan akan dilakukan beberapa program yang sesuai dengan kehendak dan matlamat utama kita untuk meraih undi,” katanya lagi.
Ditanya mengenai ceramah pembangkang yang banyak menyentuh peribadi calon dalam siri kempen mereka, Mohamad Fazli berkata, BN tidak mengambil pendekatan sama dan masih mengamalkan politik matang.
“Kita tidak menyerang calon dan menjadikan isu-isu yang tidak berkaitan dengan PRN Johor.
“Kita fokus kepada PRN Johor dan kestabilan negeri dan pembangunan negeri.
“Saya yakin dengan langkah yang sesuai kita lakukan sebagai bahan kempen dia akan beri satu impak positif terutamanya kepada pengundi baru dan muda.
“Kita harap mereka dapat menilai parti yang mengutamakan rakyat dan yang mana menggunakan sentimen semata-mata,” kata Fazli lagi.
Mohamad Fadzli berdepan lima lagi pencabar antaranya Elia Nadira Sabudin (PH), Muhd Nur Iqbal Abd Razak (PN), Mohd Akhiri Mahmood (Pejuang) dan dua calon Bebas, Johar Siraj dan Kapten (B) Najib Lep yang merupakan penyandang ADUN Bukit Pasir. – MalaysiaGazette