Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak kisah dikatakan idiot (bodoh) oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya kerana beliau menyatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah membayar balik satu sen prinsipal hutang 1MDB sejak PRU-14.

Mantan perdana menteri itu menjelaskan, apa yang dikatakan beliau itu adalah berdasarkan baki 1MDB pada PRU-14 adalah sukuk RM5 bilion diikuti bon US$3.5 bilion (RM14.7 bilion) yang dijamin IPIC dan bon US$3 bilion (RM12.5 bilion).

Katanya, jika dicampur semua sekali, jumlahnya ialah RM32.3 bilion hutang bersih 1MDB yang disahkan oleh Jawatankuasa Parlimen pada tahun 2019.

“Tun Mahathir kata saya idiot sebab saya kata kerajaan PH dan PN tidak pernah membayar balik satu sen prinsipal hutang 1MDB sejak PRU14.

“Jadi, Tun boleh beritahu saya sukuk atau bon mana yang telah dilangsaikan sepanjang tempoh PH dan PN memerintah?

“Selain hutang, saya turut perjelaskan lagi banyak perkara berhubung 1MDB semasa saya berucap dalam dewan (pada Rabu),” katanya menerusi hantaran facebooknya hari ini.

Semalam, ketika berkempen di PRN Johor, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, Najib adalah idiot kerana mendakwa Putrajaya belum membayar “sesen pun” hutang prinsipal 1MDB.

Sambil meluahkan “kejijikan” dengan kenyataan Najib di Parlimen pada Rabu, Dr. Mahathir mendakwa Ahli Parlimen Pekan itu tidak tahu malu dengan kesalahan yang dilakukan selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman.

Mengulas lanjut, Najib menyatakan, yang lain adalah penyelesaian perjanjian IPP berat sebelah oleh 1MDB yang menguntungkan negara sebanyak RM50 bilion dan turut menyumbang kepada kenaikan rizab tunai Petronas dari RM30 bilion kepada RM176 bilion pada masa PRU-14.

“Namun, Tun tak komen walaupun inilah projek-projek kroni ketinggalan PM4?” soal beliau.

Kata Najib, pembatalan perjanjian penyelesaian dengan IPIC milik kerajaan Abu Dhabi di mana IPIC sepatutnya membayar balik sehingga US$6.5 bilion sebelum 30 Disember 2020.

“Tetapi, Tun tak mahu komen, sedangkan kerajaan PH yang batalkannya? Projek TRX bernilai RM40 bilion, Tun juga tak komen walaupun menteri kewayangan Tun (Lim Guan Eng) sebut ini adalah antara aset terpenting negara?

“Pembinaan dan kenaikan taraf lapan pangkalan anggota keselamatan oleh 1MDB termasuk pembinaan pangkalan udara Sendayan yang merupakan pangkalan terbesar negara, Tun M tak komen?

“Projek Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion milik 1MDB, Tun tak mahu komen walaupun Tun pernah sebut ini adalah antara projek paling strategik negara, Tun tak mahu komen? Siapa idiot sebenarnya?” soal Najib. – MalaysiaGazette