MERSING – Presiden UMNO membayangkan ramai lagi ahli parti Bersatu dijangka akan meninggalkan parti itu dan pulang ke pangkuan Barisan Nasional (BN) selepas ini.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan itu selepas Ketua Bahagian Bersatu Mersing, Laili Yusof telah mengisytiharkan melepaskan semua jawatan dari parti kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kembali kepada UMNO.
“Saya secara terbuka insya Allah akan terima jika Youzaimi (calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau) menang besar maka mudahlah untuk kita perlicinkan urusan.
“Saya rasa bukan di Mersing sahaja tetapi Kota Tinggi, Pengerang dan seluruh Johor (akan pulang ke BN).. janganlah tunggu sehingga 12 Mac,” katanya dalam sidang media khas di restoran Nusantara di DUN Endau di sini petang tadi.
Tambah Pengerusi BN itu lagi, dengan peraturan yang ada dalam UMNO, pihaknya berlapang dada untuk terima kembali mereka (bekas ahli Bersatu) atas dasar pejuangan membela masyarakat melayu.
Mengulas mengenai hasrat bekas Ketua Bahagian Bersatu Mersing itu yang kembali berjuang di dalam BN, Ahmad Zahid menyifatkan tindakan itu disebabkan BN terbukti platform terbaik untuk memperjuangkan masyarakat melayu.
“Saya dengan besar hati, lapang dada dengan fikiran terbuka menerima kembali saudara Laili Yusof dalam UMNO dan BN.
“Mereka di sana (Bersatu) mungkin agar tersasar hala tujunya tapi bila dah kembali ke pangkal jalan (BN) maka Allah telah buka hati mereka.
“Mereka juga sudah nampak kebenaran bahawa UMNO dan BN merupakan parti dan gabungan yang mampu memperjuangkan bukan saja orang melayu malah seluruh rakyat Malaysia di Johor,” katanya lagi.
Terdahulu, Laili menerusi sidang media telah membuat pengumuman rasmi untuk kembali bersama jentera BN sekali gus menzahirkan sokongan terhadap calon-calon BN yang bertanding di Mersing.- MalaysiaGazette