Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Mersing, Abdul Halim Abu Bakar

MERSING – Tindakan bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mersing, Laili Yusof yang secara mengejut meninggalkan parti itu petang tadi disifatkan terlalu memikirkan jawatan berbanding perjuangan dalam parti tersebut.

Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Mersing, Abdul Halim Abu Bakar berkata, apa yang terjadi pada hari ini sememangnya membabitkan konflik dalaman parti itu sambil tidak menafikan ia adalah adat berpolitik.

Katanya, perbuatan Laili melepaskan segala jawatan dalam parti itu termasuk sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersatu Mersing sememangnya sesuatu yang sudah lama dijangkakan jentera parti tersebut

“Kita memang sudah lama jangka dia nak keluar tinggalkan parti ini tetapi tak sangka pula dia buat hari ini.

“Ini adalah masalah dalaman tapi mana perjuangan dia, adakah dia bantu parti ini.. nak sesuatu (jawatan) atau perjuangan, kalau betul berjuang abah kita (Tan Sri Muhyiddin Yassin) lagi kuat berjuang untuk parti.

“Pun begitu tindakan Laili tidak melunturkan semangat jentera PRN kami sebaliknya jentera Bersatu bertambah kental dan kuat semangat juang dan kami akan lawan habis-habisan untuk menang kali kedua kerusi ini untuk kak Wi (Alwiyah Talib)..ini perlawanan hebat selepas PRN Melaka..memang UMNO kuat di Endau tapi itu yang lalu,” katanya di sini.

Halim berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional di Kampung Sri Lalang, Mersing pada Jumaat sebagai mengulas tindakan mengejut Laili menyertai UMNO sejurus mengumum melepaskan segala jawatan yang disandang dalam parti di peringkat bahagian serta merta.

Ditanya sama ada tindakan Laili itu susulan kekecewaannya tidak dipilih sebagai calon, tambah Halim, ia tanggapan tidak betul kerana kedudukannya sebagai ketua bahagian parti itu tidak semestinya menjamin jawatan tertentu yang diharapkan.

“Tak semestinya jadi ketua bahagian dia boleh jadi calon, mantan kami pun tak jadi ketua bahagian, apatah dalam UMNO sendiri pun tiada menteri yang pegang jawatan ketua bahagian.

“Kita kena sedar dalam politik, hari ini jadi kawan esok lusa jadi musuh, kalau kita matang dalam politik kita akan berjuang untuk parti bukan individu semata-mata,” tegasnya.

Petang tadi, Laili mengumumkan meninggalkan Bersatu berkuat kuasa serta-merta dan menyertai BN sambil disaksikan Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi petang tadi di Endau.

Dalam sidang media pengumuman itu, Laili mendakwa keputusannya menyusul selepas dia tidak lagi mempunyai kepercayaan di dalam pucuk pimpinan parti, selain menganggap Bersatu tidak lagi berada dalam hala tuju yang sebenar.-MalaysiaGazette