Mohd Youzaimi Yusof

MERSING – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Endau, Youzaimi Yusof yakin boleh menang walaupun rata-rata mengatakan saingan begitu hebat.

Meskipun kali pertama bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Youzaimi percaya pengalaman dalam aktiviti kemasyarakatan, pembangunan dapat membantu beliau menduduki kerusi N32.

“Saya dapat merasakan keyakinan yang membuak-buak untuk memenangi Kerusi N32 kerana pengalaman saya sendiri, dan saya dah lama berkecimpung bersama rakyat.

“Pertandingan lima penjuru di N32 dapat diatasi, dan saya yakin boleh menang walaupun rata-rata mengatakan saingan daripada parti lain begitu hebat,” katanya ketika ditemui.

Ketua UMNO Bahagian Mersing itu juga mengingatkan para pengundi di DUN Endau tentang pesaingnya di kerusi tersebut iaitu calon Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini menang atas tiket BN dan kemudiannya melompat parti.

Katanya, semua jentera UMNO terutama pergerakan wanita bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional.

“Sekarang ini kita sedia maklum PN hanya memperalatkan Pas dan Bersatu terutamanya di Mersing yang memang tiada jentera yang kuat”

“Sepatutnya orang-orang Pas kena fikirlah, daripada dulu lagi kerusi yang bertanding di sini (Endau) memang kerusi Pas, kenapa harus beri kepada PPBM untuk bertanding disini?” soal Youzaimi.

Katanya, rata-rata pengundi atau penganalis ispolitik yakin parti-parti lain tidak akan dapat menang di DUN Endau dan Tenggaroh.

“Belum ada lagi dalam sejarah disini, parti selain BN berjaya memenangi kerusi kedua-dua DUN ini, lagi-lagi di peringkat Parlimen.

“Kalau ada pilihan raya umum pun kita akan menghantar calon-calon BN yang berkaliber untuk menang, walaupun kita tahu ahli Parlimen yang ada sekarang bertaraf menteri.

“Saya yakin orang Mersing takkan beri peluang kepada mereka-mereka yang telah mengkhianati parti, terutamanya parti keramat UMNO,” katanya. –MalaysiaGazette.