Muhyiddin bersama-sama pemimpin dan ahli Persatuan Dewan Perniagaan Cina Kulai hari ini.

JOHOR BAHRU – “Alhamdulillah memang saya sudah lama menunggu.”

Itu reaksi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan kenyataan menteri kesihatan bahawa perdana menteri akan mengumumkan tarikh pembukaan sempadan minggu depan.

Muhyiddin berkata, MPN telah mencadangkan pembukaan sempadan negara pada 1 Mac lalu.

Namun beliau percaya kelewatan pembukaan pintu sempadan disebabkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan masa untuk menyiapkan prosedur operasi standard (SOP).

Pengerusi Perikatan Nasional itu bagaimanapun berharap SOP yang akan dikuatkuasakan apabila pintu sempadan dibuka tidak akan menyukarkan mana-mana pihak.

“Jangan kuarantin lama-lama. Setengah-setengah negara buka dia tak perlu buat peraturan sebegitu, semua dipermudahkan.

“Kalau tidak orang kira-kira balik, kalau ada pelancong nak datang Malaysia dia kena kuarantin satu minggu. Katalah kena buat test selalu, kos mahal.

“Jadi saya harap bahawa kerajaan khususnya KKM dalam menentukan SOP yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara mengambilkira ini,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu ditemui selepas mengadakan ramah mesra dengan pemimpin dan anggota Persatuan Dewan Perniagaan Cina Kulai dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Restoran Adam Kitchen Indahpura di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman dan dua calon Perikatan Nasional.

Muhyiddin percaya KKM mempunyai kemampuan untuk mengawal jangkitan Covid-19 apabila pintu sempadan negara dibuka.

Tambah beliau dengan pembukaan sempadan negara proses pemulihan ekonomi negara dan rakyat akan bertambah mudah.

“Kerana apabila sempadan ditutup pelancong tak datang, industri pelancongan jatuh, industri penerbangan pun tak bergerak. Macam-macam masalah timbul.

“Sebab itu saya sudah minta disegerakan. Tapi tak mengapa lambat sedikit dengan cara begini kita harap negara kita akan pulih dalam tempoh masa tidak terlalu lama khasnya di Johor kita harap akan dipercepatkan lagi proses pemulihan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Khairy Jamaluddin hari ini berkata, tarikh pembukaan sempadan negara akan diumumkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu depan.

Sementara Perdana Menteri pula memberi bayangan bahawa sempadan negara akan dibuka dalam masa terdekat.

Ismail Sabri memberi harapan itu ketika menyampaikan ucapan pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Plaza Angsana di sini hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast