pada Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi

JOHOR BAHRU – Tawaran pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah di Johor tidak sepatutnya diperlekehkan.

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, pemberian air percuma yang terkandung dalam Ikrar PN Johor sempena pilihan raya negeri (PRN) itu  amat bermakna kepada kumpulan tersebut.

“Kita tawarkan 20 liter untuk mereka yang terkesan. Diperlekehkan juga. Ini menunjukkan ketidakpekaan ataupun keangkuhan. Ada yang kata ‘ah… tak apalah ini pun dulu saya buat, sekarang dia buat. Dia tiru saya’.

“Ini bukan mengenai tiru meniru. Ianya berkaitan kefahaman, keyakinan, kepekaan dan keprihatinan yang ada pada Kerajaan PN terhadap kehidupan rakyat Johor.

“Perkara kecil pun memberi makna yang besar kepada mereka yang kurang berkemampuan. Orang yang cakap ini sudah kaya. Tak apa,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di sini hari ini.

Menteri terbabit adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Sebelum ini Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata tawaran air percuma yang dikemukakan PN dalam manifesto tersebut hanya mengulangi kempen pernah dilakukan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor.

Menurut Noh, PN  hanya meniru trend yang dibuat itu untuk memancing pengundi.

“Kempen bagi air percuma ni seperti di Selangor, nak pancing undi. Bila sudah dapat, jangan jadi macam Selangor.

“Isu di Selangor dulu, rakyat terpengaruh kerana air percuma. Jadi dia nak ambil trend itu,” kata Noh baru-baru ini.

Sementara itu Muhyiddin berkata, Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 akan siap dalam tempoh tiga bulan lagi dan akan dibentangkan kepada Majlis Pemulihan Negara sebelum di bawa ke Kabinet untuk diluluskan.

Muhyiddin mengumumkan PPN 2.0 pada 11 Januari lalu yang dirangka secara lebih komprehensif serta inklusif bagi memastikan pemulihan negara seterusnya yang bersifat menyeluruh.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast