Pengerusi Keadilan Johor, Syed Ibrahim Syed Noh. Foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2022.

MUAR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesyorkan supaya satu siasatan dijalankan berkait pendaftaran undi pos Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang rendah melibatkan warganegara Malaysia di luar negara.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, jumlah kertas undi pos yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dianggap membimbangkan terutamanya bagi kategori borang 1B.

“Terdapat anggaran 200,000 rakyat Johor tinggal di Singapura yang layak mengundi secara pos seperti yang diberitahu oleh Menteri Besar Johor sebelum ini, sedangkan hanya 7,814 yang mendaftar, maka ini hanya 0.04 peratus sahaja.

“Apakah punca peratusannya begitu rendah, adakah kerana masa hebahan yang tidak mencukupi? Sebelum ini pun terdapat aduan yang diterima dalam kalangan pengundi Johor, mereka hendak daftar undi pos tetapi berdepan dengan banyak masalah teknikal di laman sesawang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama calon PKR zon utara di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Parit Jawa di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang itu berkata, peratusan yang rendah dari segi pendaftaran undi pos membabitkan rakyat yang berada di luar negara tidak boleh dipandang mudah.

Jelas Syed Ibrahim, ia seolah-olah menafikan hak pengundi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Justeru, saya syorkan satu siasatan dilakukan dengan segera, SPR bukan sahaja jalankan pilihan raya tetapi mereka harus pastikan rakyat boleh mengundi dengan adil, telus dan terbuka kerana jumlah yang di luar itu ramai.

“Jadi saya harap ada respons dari SPR dan perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya,” ujar beliau.

Semalam, SPR mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.

Kesemua 36,729 kertas undi pos itu terdiri daripada 28,421 kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media).

Manakala, bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan dan ebanyak 118 kategori Borang 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan) dan 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Terdahulu pada 28 Februari lalu, media melaporkan dianggarkan 200,000 rakyat Johor yang tinggal di Singapura layak mengundi secara pos pada PRN Johor.

Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, angka itu diperoleh daripada jumlah pendaftaran di aplikasi ImmuPlan iaitu platform vaksinasi kerajaan negeri yang melaksanakan semua jenis program dan inisiatif membabitkan pembekalan vaksin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast