Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berbual bersama jentera ketika hadir pada program bertemu pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bilik Gerakan Barisan Nasional Kota Kecil Barat, Johor Lama. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 MAC 2022.

KOTA TINGGI – UMNO tidak nampak berlaku penolakan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam kalangan pengundi Johor seperti mana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Lantaran itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak kenyataan parti-parti tertentu yang mendakwa rakyat Johor telah mula tolak BN.

Beliau turut melahirkan keyakinan yang tinggi dengan kuasa jentera UMNO dan BN dalam membantu calon berkempen dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Jelasnya, struktur jentera parti itu yang telah disusun awal sebelum DUN dibubarkan.

Menurutnya, apabila parti itu melancarkan pusat operasi di peringkat zon untuk tujuan desentralisasi, UMNO telah mengagihkan kuasa pusat agar tidak tertumpu kepada hanya satu kawasan atau peringkat.

“Biarpun kita mempunyai command centre di Johor Bahru, apabila operasi desentralisasi dilakukan, kita dapat lihat jentera kita bukan hanya memberikan tumpuan di zon-zon, tetapi juga di peringkat DUN,” katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid hadir ke Bilik Gerakan Utama (BGU) BN di Johor Lama untuk menyantuni jentera parti dan berjumpa calon N36 Sedili, Muszaidi Makmor dan calon N37 Johor Lama, Norliza Noh.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi BN menambah, jentera-jentera tempatan perlu memberikan tumpuan di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

”Kita pun dah melakukan head count mengira pengundi-pengundi tegar dalam kalangan ahli-ahli UMNO, bukan setakat tu sahaja, kita pun beri tumpuan juga kepada parti-parti ”rakan” untuk berjuang bersama sama kita”.

”Ramai juga individu tertentu telah datang kepada BN untuk menawarkan perkhidmatan dan mereka bantu kita secara tidak langsung, termasuk juga jentera-jentera BN sendiri, jentera dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk veteran-veteran daripada pelbagai parti datang membantu kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast